Federer, Nadal catat kemenangan

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat, 14 Mac – Bekas juara Roger Federer dan Rafael Nadal semakin hampir untuk menempah pertembungan menarik sesama sendiri di separuh akhir ATP Indian Wells Masters apabila masing-masing meraih kemenangan di pusingan keempat, kelmarin.

Pemain nombor dua dunia Nadal mengatasi pemain Serbia, Filip Krajinovic 6-3, 6-4 untuk menempah slot ke suku akhir dalam tempoh satu jam 26 minit.

Federer yang sedang memburu gelaran keenam di sini hanya memerlukan 64 minit untuk menewaskan pemain Britain, Kyle Edmund 6-1, 6-4.

Nadal berkata, prestasinya di gelanggang stadium yang berangin itu tidak begitu baik meskipun dia mampu menewaskan pemain Argentina, Diego Schwartzman 6-3, 6-1 pada pusingan ketiga sebelum ini.

Namun dia mampu melakukan yang lebih baik ketika menentang pemain di ranking ke-113 dunia Krajinovic.

Nadal yang menjulang trofi Indian Wells pada 2007, 2008 dan 2013, menyertai pusingan lapan terbaik untuk pertama kali sejak tiga tahun lalu selepas terlepas edisi tahun lalu dan juga Miami Masters kerana kecederaan pinggul. – AFP