LONDON, 17 Julai – Roger Federer memenangi gelaran Wimbledon kelapan dan menjadi juara tertua dalam kejohanan itu semalam dengan kemenangan ‘straight-set’ ke atas Marin Cilis yang secara dramatik menangis pada pertengahan final.
Federer memenangi gelaran Grand Slam ke-19 dengan 6-3, 6-1, 6-4 dan pada usia 35 tahun adalah pemenang lelaki tertua Wimbledon pada era moden, menggantikan Arthur Ashe, yang hampir berusia 32 apabila dia menang pada 1975.
Bagaimanapun, persaingan final Wimbledon ke-11 bagi bintang Switzerland itu, dan ke-29 dalam kejohanan utama, juga dikenang kerana menyaksikan Cilic dalam keadaan menangis selepas ketinggalan 3-0 pada set kedua.
Pilihan ketujuh dari Croatia itu, juara Terbuka AS 2014, teresak-esak dan menundukkan kepalanya dengan meletakkan tuala ketika impiannya bagi menjulang gelaran terpadam.
Dia meletakkan pita pelekat di kaki kirinya pada akhir set kedua tetapi dalam kesakitan ketika Federer menjadi pemain pertama sejak Bjorn Borg pada 1976 untuk memenangi Wimbledon tanpa melepaskan satu set sepanjang kejohanan.

“Dia seorang wira,” kata Federer mengenai pesaingnya.
Dua belas bulan lalu, Federer ditewaskan dalam lima set pada separuh akhir kepada Milos Raonic dan menamatkan musimnya untuk berehat kerana kecederaan lutut.
“Ia sukar dipercayai saya boleh mencapai kedudukan seperti itu. Saya tidak pasti saya akan berada di sini dalam satu lagi perlawanan akhir selepas tahun lalu,” kata Federer, yang berusia 36 tahun dalam tempoh tiga minggu lagi dan sekarang mengatasi bagi tujuh gelaran Wimbledon dikongsikannya bersama Pete Sampras dan William Renshaw.
“Saya mengalami persaingan sukar dalam final, tewas dua kali menentang Novak (Djokovic).
“Tetapi saya selalu percaya. Saya terus percaya dan mengimpikan saya akan mendapatkannya kembali”. – AFP