Tuesday, March 25, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Federer teruskan penguasaan, jumpa Wawrinka

    MELBOURNE, 24 Jan – Roger Federer melangkah ke separuh akhir Terbuka Australia dengan bergaya apabila dengan mudah menewaskan jaguh tenis Jerman, Mischa Zverev hari ini.

    Juara Grand Slam sebanyak 17 kali itu dijangka bertemu dengan rakan senegaranya, Stan Wawrinka dalam separuh akhir dengan kemenangan 6-1, 7-5, 6-2 yang hanya mengambil masa 92 minit di Rod Laver Arena.

    Juara empat kali itu telah melebarkan rekodnya bagi penampilan separuh akhir Terbuka Australia kepada 13 penampilan dengan kemenangan itu.

    Ia juga akan merekodkan 41 kali separuh akhir Grand Slam bagi legenda Switzerland itu.

    “Saya sangat gembira. Saya bermain sebaik mungkin dalam kejohanan ini. Saya tidak pernah terfikir untuk berada di tahap sebaik ini. Namun di sini saya berdiri untuk bermain dalam separuh akhir menentang Stan,” kata Federer di atas gelanggang.

    Mischa Zverev (kiri) mengucapkan tahniah kepada Roger Federer dalam perlawanan suku akhir Terbuka Australia hari ini. – AP
    Mischa Zverev (kiri) mengucapkan tahniah kepada Roger Federer dalam perlawanan suku akhir Terbuka Australia hari ini. – AP

    “Saya fikir (pada awal kejohanan) saya mungkin dapat memenangi beberapa pusingan, bergantung pada undian, mungkin pusingan keempat atau suku akhir. Itulah sasaran saya pada ketika itu.”

    Ia merupakan satu persembahan hebat yang ditunjukkan oleh Federer yang berusia 35 tahun, membuat 65 pukulan kemenangan dan hanya membuat 13 kesilapan serta memecahkan servis-voli Zverev sebanyak enam kali.

    Zverev, berada di ranking 50, telah menghasilkan salah satu daripada kejutan dalam kejohanan itu dengan kemenangan pusingan keempat ke atas pemain nombor satu dunia, Andy Murray dan tidak bermain dengan teruk menentang Federer, hanya membuat 13 kesilapan.

    Federer kini hanya perlu berdepan dengan pasangan beregunya dalam Piala Davis sebagai halangan untuk menuju ke final. Dia mempunyai kelebihan 18-3 terhadap Wawrinka.

    Zverev tidak memenangi perlawanan dalam pertemuan terbaru mereka di Halle pada tahun 2013, tetapi dia telah memecahkan servis Federer dalam perlawanan keempat set kedua dan telah memenangi sejumlah lapan perlawanan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda