FedEx pindahkan pangkalan kru dari Hong Kong

HONG KONG, 17 NOV – Syarikat penghantaran global, FedEx, hari ini berkata mereka menutup pangkalan krunya di Hong Kong dan memin-dahkan juruterbangnya ke luar negara disebabkan oleh langkah ketat anti koronavirus yang dilaksanakan di bandar tersebut, menurut laporan media tempatan.

Langkah tersebut menjadi cabaran baharu kepada reputasi Hong Kong sebagai hab logistik global ketika sekatan perjalanan dan perintah kuarantin mandatori menyebabkan bandar tersebut terputus hubungan dengan seluruh dunia.

“Ketika keadaan perniagaan global terus berubah dan dengan peraturan pandemik di Hong Kong, FedEx membuat keputusan untuk menutup pangkalan kru di Hong Kong dan memindahkan juruterbang kami,” menurut kenyataan FedEx kepada penyiar Hong Kong, RTHK.

South China Morning Post turut melaporkan keputusan FedEx dan memetik kenyataan daripada memo syarikat yang ditulis oleh ketua sistem juruterbang, Robin Sebasco.

“Keputusan untuk menutup pangkalan di Hong Kong mencerminkan perubahan konsisten dan direka untuk memberikan langkah stabil bagi kakitangan, masih tiada tarikh jelas bila kehidupan akan kembali normal di Hong Kong,” tulis Sebasco. Dia menambah syarikat akan terus memberi perkhidmatan kepada Hong Kong dengan juruterbang yang berpangkalan di Oakland, California.

Pengumuman dibuat sehari selepas Hong Kong – hab kargo antarabangsa paling sibuk di dunia – mengarahkan lebih 100 juruterbang kargo Cathay Pacific untuk menjalani kuarantin mandatori 21 hari selepas tiga diuji positif dijangkiti koronavirus selepas kembali dari Jerman. Awal minggu ini, South China Morning Post melaporkan Cathay Pacific mempertimbangkan untuk memindahkan beberapa juruterbangnya dari luar negara berganti-ganti selama empat bulan.

Hong Kong kekal melaksanakan langkah kuarantin dan sekatan perjalanan paling ketat di dunia semasa pandemik. – AFP