Fedor lanjut ‘kursus’ di angkasa

MOSCOW, 22 OGOS – Rusia hari ini telah melancarkan roket tanpa manusia, membawa robot manusia yang akan meluangkan masa 10 hari belajar untuk membantu para angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa.

Dinamakan sebagai Final Experimental Demonstration Object Research (Fedor), dengan nombor pengenalan diri Skybot F850, ia merupakan robot pertama yang dihantar oleh Rusia.

Fedor berlepas menaiki roket Soyuz MS-14 pada jam 6:38 pagi waktu Moscow dari pusat pelancaran Baikonur Rusia di Kazakhstan. Soyuz dijangka mendarat di stesen angkasa pada Sabtu dan kekal di sana sehingga 7 September.

Roket Soyuz biasanya membawa manusia bagi perjalanannya, tetapi hari ini tiada manusia di dalamnya bagi menjalankan satu ujian sistem penyelamatan kecemasan baharu.

Berbanding angkasawan, Fedor ditempatkan pada tempat duduk juruterbang yang dikhaskan, dengan bendera kecil Rusia di tangannya.

Gambar 22 Ogos 2019 yang dikeluarkan oleh Roscosmos Space Agency Press Service menunjukkan roket Rusia yang dinaiki oleh sebuah robot bernama Fedor dilancarkan di Kazakhstan. – AP

“Let’s go. Let’s go,” kata robot itu semasa pelancaran, kelihatannya mengulangi ayat terkenal lelaki pertama di angkasa, Yury Gagarin.

Fedor mempunyai ketinggian 1.8 meter dan berat badan 160 kilogram.

Ia bahkan mempunyai akaun Instagram dan Twitter, yang memperlihatkan beberapa kemahiran baharunya seperti membuka air botol.

Di stesen angkasa itu nanti, ia akan diuji dengan kemahiran-kemahiran itu dalam keadaan graviti rendah. – AFP