Walaupun masih bersedih dengan pemergian ibu mertua pada Ahad lalu, penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar tetap mengagahkan diri ke udara di konti pada keesokan harinya.
Feeya, 35, memberitahu suaminya juga memberi keizinan dia kembali bekerja malah memintanya tidak terbawa-bawa dengan perasaan sedih kerana semua urusan sudah selesai.
“Ibu mentua meninggal semalam, sepatutnya saya masih cuti tapi saya on air seperti biasa kerana semua urusan sudah selesai.
“Suami saya juga benarkan saya kembali bekerja. Jadi saya tak boleh pentingkan perasaan saya,” katanya.
Menurut mStar, Feeya berkongsi perkara itu ketika ditemui pada pelancaran kempen Raikan Yang Dirai yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Feeya memberitahu dia diberikan peranan utama menerusi drama Raya Suria berjudul Suami Raya sempena kempen Syawal stesen radio berkenaan tahun ini.
“Sebelum ini kalau berlakon watak sampingan sahaja tetapi tahun ini rezeki saya dapat watak utama.
“Bukan senang nak berlakon! Kita perlu penuhi karakter itu sebaik mungkin agar penonton dapat menghayatinya dengan baik,” ujarnya. – Agensi
