FEKIm UNISSA diiktiraf GIFA buat kali ketiga

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) sekali lagi melakar sejarah apabila memenangi Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) bagi kategori Anugerah Kepimpinan Pasaran GIFA 2021 (Pendidikan dalam Perbankan dan Kewangan Islam) buat tiga kali berturut-turut setelah mendahului tiga calon institusi lain di peringkat global.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, majlis penganugerahan GIFA ke-11 bagi 2021 telah diadakan secara maya, hari ini, bersiaran secara langsung dari kota London menerusi platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan laman sesawang rasmi GIFA.

Dekan FEKIm UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani menerusi mesej
video GIFA 2021 yang ditayangkan secara maya menyatakan bahawa penganugerahan GIFA untuk kali ketiga berturut-turut itu merupakan satu penghormatan tertinggi.

“Selain itu, ia juga pengiktirafan yang berprestij dan pencapaian yang paling membanggakan kerana menjadi satu mercu tanda penting yang bersejarah dalam sistem pendidikan di
UNISSA yang baru mencapai satu dekad khasnya dalam bidang pengajian Perbankan dan Kewangan Islam,” jelasnya.

Beliau menambah, anugerah yang diterima tahun ini menegaskan pendirian dan komitmen FEKIm UNISSA dalam usaha menyediakan platform pendidikan terbaik kepada para pelajar yang menceburkan diri dalam dunia kewangan Islam.

Pada kesempatan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh tenaga akademik FEKIm, UNISSA atas sokongan dan prasetia mereka yang tidak putus-putus dan tidak merasa jemu untuk mendidik para pelajar dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran dan peluang kompetitif yang ditawarkan oleh dunia kewangan Islam semasa.

“Anugerah ini juga merupakan satu lagi pencapaian yang wajar dibanggakan dan dengan rendah hati mengucapkan terima kasih kepada pihak GIFA kerana sekali lagi memilih FEKIm UNISSA sebagai penerima anugerah berprestij tersebut pada tahun ini,” tambahnya.

GIFA yang dianugerahkan oleh Cambridge International Finance Advisor, United Kingdom merupakan satu anugerah paling berprestij dan dihormati dalam dunia perbankan dan kewangan Islam global.

Ia dianugerahkan kepada kerajaan, institusi, dan individu yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyumbang kepada kemapanan bidang perbankan dan kewangan Islam sebagai sebuah sistem yang berdaya maju di arena global.

Kali pertama FEKIm UNISSA me-nerima Anugerah GIFA adalah pada 16 September 2019 dalam Majlis GIFA ke-9 yang diadakan di Cape Town, Afrika Selatan dan kali kedua semasa GIFA ke-10 iaitu pada 14 September 2020 di Islamabad, Republik Islam Pakistan.