Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Felda D’Saji bakal buka cawangan di Madinah

    KUALA LUMPUR, 16 Julai – Berhasrat menjadi pembekal perkhidmatan industri hospitaliti global halal terunggul, Felda D’Saji Sdn Bhd (D’Saji), nama yang tidak asing lagi dalam bidang katering makanan, bakal membuka cawangan restorannya di Madinah tidak lama lagi.

    Menjadikan Arab Saudi sebagai tapak mengembangkan sayap perniagaan, Ketua Pegawai Ekseutif Felda Middle East Sdn Bhd Syed Fadhil Syed Sofie berkata, perancangan cawangan ketiga itu adalah berdasarkan kejayaan operasi D’Saji yang mempunyai restoran di Mekah dan Jeddah.

    Beliau berkata pencarian tapak sedang giat dijalankan bagi memastikan lokasi di ‘kota cahaya’ itu menjejaki kejayaan sebagaimana dua lokasi di Tanah Suci.

    “D’Saji di Madinah akan menawarkan restoran makanan Melayu dan Arab secara ala-carte berbanding di Mekah, yang menawarkan makanan yang siap dimasak dan dipilih secara berhadapan,” katanya kepada Bernama dalam wawancara Ekspresi Felda Negaraku Malaysia sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2017 di Putrajaya  pada 21 – 23 Julai ini.

    Beliau berkata ia juga selaras hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkenalkan makanan Malaysia dan memudahkan jemaah Malaysia di Madinah merasai hidangan dan keenakan masakan seperti di rumah.

    Restoran D’Saji Mekah menghidangkan menu makanan popular Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, char kuey tiaw dan juga makanan segera seperti pizza serta hot dog, selain meluaskan perkhidmatan katering ke kawasan sekitar seperti hotel dan pangsapuri di Tanah Suci. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda