Felda Sahabat potensi jadi hab ternak lembu

LAHAD DATU, 6 SEPT – Kawasan Felda Wilayah Sahabat memiliki potensi besar untuk dibangunkan dengan pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, misalnya Felda Sahabat yang seluas Melaka atau 1.5 kali ganda lebih besar daripada Singapura itu, mempunyai potensi dijadikan hab menternak lembu, bagi menampung permintaan tinggi daging tersebut.

Kata beliau pada ketika ini seorang anak muda di Felda Sahabat Bakri Pawerdi, terlibat dengan projek penternakan lembu sejak tahun 2004, dengan permulaan 20 ekor lembu dan kini menternak lebih 4,000 ekor lembu.

“Bakri, 34, ini menjual lembu dimilikinya sehingga ke Sarawak dan turut mengeksport ke Brunei, permintaan terhadap daging lembu miliknya amat tinggi, sehingga lebih 200 ekor sebulan diperlukan, tetapi Bakri hanya mampu membekalkan 60 ekor sebulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mustapa berkata, kejayaan Bakri itu boleh dijadikan contoh kepada warga peneroka dan diperluaskan kepada kawasan tanah rancangan lain.

“Felda membantu menjalankan projek integrasi ternakan lembu di bawah program Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di Felda Sahabat, dan saya meminta pihak pengurusan supaya menghantar laporan serta cadangan, untuk meningkatkan keupayaan Bakri menternak lembu,” katanya. – Bernama