Felicya ‘mengidam’ berbual dengan aktor Korea

Bintang Indonesia, Felicya Angelista meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk berbual secara peribadi dengan aktor Korea, Song Joong Ki akhirnya tercapai.

Menurut laporan Kompas.com, Felicya berkata dia teruja dan hilang kata-kata apabila dapat bertentang mata dengan pelakon popular itu menerusi panggilan video, baru-baru ini.

Felicya yang hamil enam bulan memberitahu pelakon drama bersiri Vincenzo itu sanggup meluangkan sedikit masa di set penggambaran bagi memenuhi impiannya itu.

“Saya suka sangat sampai tak tahu nak cakap apa… hilang kata-kata kerana salah satu impianku tercapai.

“Ternyata mengidam saya kesampaian guys, bukan cuma video tapi panggilan video dan dia berada di lokasi penggambaran. Dia sanggup keluar sebentar, mungkin semasa itu dia berehat atau mekap. Tapi dia masih sempat video call saya!” katanya. Felicya hilang kata-kata apabila bertentang mata dengan pelakon pujaannya itu.

Sebelum itu, Felicya meluahkan keinginan kepada suami, Hito bahawa dia teringin atau mengidam untuk berbual dengan salah seorang aktor kegemarannya. Hito lantas menghubungi rakannya di Korea dan berusaha menda-patkan Song Joong Ki.

“Singkat tapi benar-benar meninggalkan kesan mendalam kerana apa yang dilakukan oleh suami saya ini awalnya difikirkan sangat mustahil.

“Saya masih tidak percaya! Terima kasih Hito dan temannya Raymond yang membuatkan impian saya ini tercapai,” ujarnya. – Agensi

Felicya terkedu apabila dapat berbual dengan Song Joong Ki secara langsung menerusi panggilan video. – Agensi