MADRID, 11 April – Atletico Madrid sudah terbiasa menyingkirkan gergasi Eropah dalam Liga Juara-Juara di bawah kendalian Diego Simeone, tetapi mengakhiri kemaraan Leicester City mungkin terbukti sukar berbanding menyingkirkan Barcelona atau Bayern Munich, menurut Felipe Luis.
“Kami bukan pasukan pilihan,” kata pemain bek kiri dari Brazil itu, meskipun mempunyai pengalaman luas dalam Liga Juara-Juara berbanding lawan mereka.
Atletico kini berada dalam suku akhir keempat berturut-turut mereka dan tewas tipis dalam dua final menentang pesaing bandar Real Madrid dalam tiga tahun kebelakangan ini.
Namun, pasukan dari Sepanyol itu sedar mengenai kemampuan Leicester selepas pasukan itu menyingkirkan sebuah pasukan dari La Liga, Sevilla dalam laluan ke peringkat lapan terakhir dalam penampilan pertama mereka bagi kejohanan besar itu.

“Ia juga akan menjadi sukar bagi mereka kerana kami tahu bagaimana untuk bermain dalam suku akhir. Kami sudah bermain dalam peringkat ini dalam tiga tahun kebelakangan ini, jadi kami sudah bersedia.”
Felipe Luis berkata musim lepas Atletico telah menggunakan kegemilangan Leicester City dalam Liga Perdana sebagai inspirasi dengan menyingkirkan Barca dan Bayern sebelum tewas di final kepada Real menerusi penentuan sepakan penalti di Milan. – AFP