Felix ganti Griezmann

LISBON, 19 JUN – Atletico Madrid bersedia untuk menandatangani pemain remaja sensasi Portugal. Joao Felix (gambar bawah) dari kelab Benfica dengan harga 120 juta euro, menurut laporan di Portugal, hari ini.

Yuran perpindahan bakal menjadikan Felix sebagai pemain kelima termahal sepanjang zaman selepas Neymar, Kylian Mbappe, Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele.

Tiga akhbar Portugal, A Bola, Record dan O Jogo mendakwa pemain berusia 19 tahun itu menerima tawaran kontrak selama lima tahun dari Atletico dengan gaji tahunan sebanyak enam juta euro.

Felix dikaitkan dengan beberapa kelab ternama Eropah termasuk Manchester City, Manchester United dan Juventus.

Kejayaan mendapatkan pemain itu mampu meningkatkan keyakinan Atletico yang kehilangan khidmat Antoine Griezmann musim panas ini selepas pemain antarabangsa Perancis itu berkata dia mahu mencari cabaran baharu.

Klausa pelepasan Griezmann akan menurun kepada 120 juta euro pada 1 Julai ini dan dengan penjualan pemain tersebut bakal membantu Atletico mendapatkan dana yang mencukupi bagi membida Felix. Griezmann pula dijangka menyertai Barcelona.

Felix, seorang penyerang yang mampu beraksi sama ada di posisi sayap ataupun serangan tengah, menikmati musim cemerlang di Benfica selepas meledak 20 gol dalam 43 perlawanan kompetitif dan membantu kelab memenangi gelaran Liga Portugal.

Dia turut melakukan penampilan sulung bersama Portugal, awal bulan ini, disenaraikan dalam kesebelasan utama di samping Cristiano Ronaldo sewaktu menang pada separuh akhir Piala Negara-Negara Eropah ke atas Switzerland. – AFP