Fenomena air pasang: 41 mangsa dipindahkan

KOTA KINABALU, 14 JAN – Seramai 41 mangsa daripada lapan keluarga di Kudat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan fenomena air pasang besar dan ombak tinggi melanda kampung di pesisir pantai itu, semalam.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, mereka yang merupakan penduduk kampung Sri Aman dan Tanjung Kapor ditempatkan di PPS Dewan Arena Belia dan Sukan Kudat yang dibuka pada 11 malam tadi.

“Air pasang berada pada paras bahaya dan anggota daripada agensi terlibat memberi nasihat kepada penduduk kampung agar mengambil langkah berjaga-jaga kerana air pasang yang tinggi dan berbahaya,” demikian menurut kenyataan itu.

Fenomena itu turut menyebabkan dua rumah roboh sementara lima lagi hampir tumbang apabila air pasang besar mula naik pada 8:30 malam dan melebihi paras bahaya.

Sementara itu, penduduk di kawasan Kampung Tanjung Aru Tengah di sini juga dinasihatkan untuk berpindah, akibat fenomena air pasang besar yang membahayakan rumah mereka berlaku sekitar malam tadi.

Seorang penduduk Abu Bakar Jamian, 68, berkata laut bergelora dan angin kencang membuatkan ombak semakin besar serta paras air semakin tinggi, menyebabkan rumah mereka yang dibina di atas air itu tidak selamat untuk diduduki. – Bernama

Seorang penduduk Kampung Tanjung Aru Baru menunjukkan keadaan rumahnya yang mengalami kerosakan teruk dipukul ombak kuat. – Bernama