Fenomena air pasang besar mula landa empat negeri di Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 NOV – Fenomena air pasang besar mula melanda empat negeri di Malaysia iaitu Kedah, Perak, Selangor dan Johor sejak lewat malam tadi menyebabkan limpahan ke beberapa kawasan penempatan penduduk.

Situasi itu seperti dijangkakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memaklumkan air pasang besar dijangka berterusan di negeri terbabit selama empat hari bermula semalam (4 November).

JPS turut memberi peringatan fenomena itu akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak selain berisiko mengakibatkan banjir kilat, limpahan air laut serta banjir pantai. 

Di Kedah, beberapa kawasan di negeri itu khususnya di Kuala Kedah, mula dinaiki air sekitar 11:30 malam tadi menyebabkan limpahan air ke penempatan penduduk dan kawasan pasar namun surut tidak lama kemudian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penye-lamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata fenomena air pasang besar dijangka paling tinggi pada 1:17 pagi esok dan Kuala Kedah, Yan, Jerlun serta Kuala Muda akan terus dipantau.

Di Perak, air pasang besar berlaku setinggi lebih semeter pada kira-kira 4:30 pagi tadi menyebabkan air melimpah sedalam 0.3 meter ke penempatan penduduk yang rendah di beberapa kawasan di pesisiran Sungai Perak, Teluk Intan.

Di Selangor, air pasang besar yang melanda pesisir pantai negeri itu masih terkawal dengan dipantau secara bersepadu oleh beberapa Balai Bomba dan Penyelamat negeri bersama agensi bencana lain sejak 4:30 hingga 7:30 pagi tadi. Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata lokasi pemantauan termasuk  Jeti Pulau Ketam, Jeti Sementa, Jeti Sritama, Jeti Sri Tanjung, Jeti Sepakat, Jeti Sirip Biru, Pengkalan Nelayan Kampung Tok Muda Kapar, Pengkalan Sungai Keramat dan Kampung Ban Pecah.

Di Johor, JBPM negeri akan menumpukan rondaan bagi fenomena itu di kawasan sepanjang pesisir pantai yang mempunyai penduduk di beberapa daerah antaranya Batu Pahat, Pontian, Mersing, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar. – Bernama

Sebahagian rumah di perkampungan nelayan di Bagan Hailam, Pelabuhan Klang, Selangor dinaiki air sehingga mencecah paras 5.6 meter berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan Bernama. – Bernama