Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Fenomena penghijaban planet Zuhrah 27 Mei ini

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Satu lagi fenomena astronomi penghijaban bulan bakal berlaku di hadapan planet Zuhrah, akan dapat disaksikan pada 27 Mei ini.

    Menurut Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), hari ini, fenomena tersebut hanya dapat dilihat di sebahagian kecil kawasan di Asia Tenggara termasuk Negara Brunei Darussalam.

    Fenomena itu akan berlaku di langit pada waktu siang hari pada magnitud -4.1, dan ia mudah dilihat oleh pemerhati yang berpengalaman. Namun, orang ramai mungkin memerlukan bantuan optik seperti teleskop atau binokular, dengan menyasarkan pandangan ke arah bulan sabit untuk menyaksikan kejadian tersebut.

    Kenyataan turut menjelaskan, jika keadaan langit cerah, para pemerhati di negara ini akan mendapati sebutir ‘bintang’ yang sangat terang yang sebenarnya merupakan Zuhrah menghampiri bulan sebelum penghijaban. Manakala Zuhrah akan hilang ketika berada di belakang bulan bermula jam 10:58 pagi dari Negara Brunei Darussalam.

    Oleh itu, memandangkan kejadian tersebut melibatkan bulan di fasa sabit tua, di awal peringkat penghijaban, Zuhrah akan bergerak masuk di belakang bulan dari arah sisi bahagian kawasan terang bulan. Ia kemudiannya akan muncul semula dari sebalik sisi gelap bulan pada 12:40 tengah hari.

    Sehubungan itu, PABD akan bekerjasama dengan enam institusi astronomi dan balai cerap untuk menyediakan pencerapan fenomena tersebut dari beberapa wilayah secara penstriman langsung.

    Penganjur bersama bagi program cerapan secara dalam talian tersebut melibatkan badan-badan organisasi dari Malaysia yang terdiri daripada Apadilangit; Dark Skies Malaysia; Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) dan Persatuan Astronomi-Falak Amatur Negeri Kelantan. Turut terlibat ialah badan-badan organisasi dari Indonesia yang terdiri daripada Balai Cerap Astronomi Sunan Ampel (OASA) Surabaya dan Planetarium Jakarta.

    Dalam pada itu, siaran langsung tersebut dijangka akan bermula pada jam 8:30 pagi hingga 12:45 tengah hari yang boleh diikuti melalui www.bruneiastronomy.org.

    Ada pun fenomena kejadian penghijaban Zuhrah yang sama akan berlaku dan dapat diperhatikan dari negara ini kira-kira pada 24 Mac 2023, dan setelah 16 tahun kemudian iaitu pada 27 Mei 2039.

    Rajah laluan planet Zuhrah diselindungi oleh bulan seperti yang dijangka akan dapat diperhatikan dari tanah air ini pada waktu siang 27 Mei ini. – Gambar serahan PABD.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...