Saturday, February 4, 2023
23.6 C
Brunei

-

Fenomena pickleball gegar New York

NEW YORK – Sukan pickleball merupakan sebuah permainan yang mudah dilakukan dan lebih mudah diakses daripada tenis. Sukan itu menjadi sukan kegemaran di New York, apabila ia menarik pelabur dan berkembang di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Pada petang hari minggu baru-baru ini di kaki Jambatan Brooklyn, berpuluh-puluh pemain yang berumur 30an hingga pesara berkongsi empat gelanggang baharu di Brooklyn Bridge Park, yang baru-baru ini menggantikan gelanggang bola bocce.

Pasukan terbentuk secara spontan ketika pemain menunggu giliran di ruang taman yang menawarkan pemandangan unik bangunan pencakar langit Manhattan yang terang benderang.

“Awda datang ke sini, simpan raket di sana dan awda boleh bermain dengan pelbagai orang sama ada tahap pemula dan pertengahan,” kata Amy Zhao, 52.

Dengan bola plastik berlubang berwarna neon, raket rata dan servis bawah tangan yang wajib, pickleball ialah sejenis ‘tenis mini’, terutamanya kerana gelanggangnya yang bersaiz lebih kecil.

Orang awam bermain pickleball di gelanggang awam di Brooklyn. – AFP
Karim Kerawala ketika ditemui di gelanggang awam di Brooklyn, New York. – AFP
Gambar menunjukkan raket pickleball. – Agensi
Bola plastik berlubang yang digunakan untuk bermain pickleball. – AFP

Ia juga jauh lebih murah: David Masters bermain pickleball apabila dia menyedari kos AS$100 untuk mendapatkan tempat bermain tenis di taman awam New York.

“Dan juga, awda terpaksa bangun pada jam 6 pagi hanya untuk menempah gelanggang,” kata jurutera perisian berusia 31 tahun itu.

Selain tenis, pickleball juga merangkumi dua sukan lain, iaitu badminton dan ping-pong, dengan gerakan pertukaran cepat yang memerlukan refleks pantas.

Lebih-lebih lagi, pemain mesti meletakkan kedudukan yang strategik di atas gelanggang di mana pesaing tidak boleh memukul bola sebelum ia melantun jika ia mendarat di zon bukan voli yang hanya berada di hadapan jaring.

Permainan ini dicipta pada tahun 1965 oleh tiga orang bapa di Washington. Pada bulan Februari, Persatuan Industri Sukan dan Kecergasan menganggapnya sebagai sukan yang paling pesat berkembang di AS, dengan 4.8 juta pemain biasa atau kasual pada 2021, meningkat 39 peratus daripada 2019.

Profesionalisasi

Pertumbuhan di New York dapat dilihat dengan gelanggang baharu muncul di seluruh bandar dan di mana jurulatih persendirian telah mendapat permintaan, ada yang mencecah sehingga AS$75 sejam.

“Semasa wabak, orang ramai ingin melakukan aktiviti. Dan rasanya pickleball adalah salah satu yang mendapat tempat,” kata Karim Kerawala, 33.

“Sukan ini membiarkan pemain berada di luar dan biarkan bersaing dalam sesuatu yang tidak memerlukan satu tan senaman, melainkan awda mahu… permainan peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Menggelar pickleball sebagai ‘obsesi baharunya’, dia berkata aplikasi pertemuan menyaksikan bilangan keahlian berubah daripada sekitar 200 kepada hampir 2,000 dalam satu tahun. Beberapa litar ‘profesional’ telah pun timbul, termasuk APP Tour yang diasaskan pada 2019.

Pada penghujung Mei, liga telah menganjurkan kejohanan Terbuka AS di Flushing Meadows. Menurut Ken Herrmann, pengasas APP Tour, minat dan kemahiran mula menjadi satu keperluan untuk kelayakan kejohanan bagi acara profesional.

PPA Tour yang ditubuhkan pada 2018, menandatangani kontrak eksklusif dengan 24 pemain terbaik dalam sukan itu bagi golongan lelaki dan wanita. Mereka mengagihkan hadiah AS$3 juta pada 2022, jumlah yang boleh berganda pada 2023, kata Hannah Johns, pengarah kandungan PPA Tour.

“Ia benar-benar hebat, berapa banyak ia dilancarkan. Dan banyak lagi kerana kami dapat mendapatkan penaja yang lebih besar dan rakan kongsi penyiaran yang terlibat,” kata Johns, me- metik CBS, NBC dan ABC di kalangan rangkaian dan syarikat penyewaan kereta Hertz sebagai jenama.

Dan dengan pengambilalihan PPA Tour yang telah diumumkan oleh firma pelaburan swasta yang diasaskan oleh ahli perniagaan Tom Dundon yang sudah memiliki pasukan hoki ais Carolina Hurricanes. Major League Pickleball mengumumkan minggu ini bahawa ia akan bergabung dengan fenomena NBA LeBron James, yang membeli pasukan sebagai sebahagian daripada kumpulan pemilikan yang termasuk rakan juara bola keranjang Draymond Green dan Kevin Love. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Bekas Menteri dijatuhi hukuman penjara 2 tahun

SEOUL, KOREA SELATAN, 3 FEB - Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas Menteri Kehakiman, Cho Kuk, selepas dia...
- Advertisment -