Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fergie: Rekod Rooney sukar dipecahkan

    LONDON, 25 Jan – Bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya rekod jaringan penyerang Manchester United, Wayne Rooney sebagai menjangkaui usia dan sukar untuk dipecahkan.

    Penyerang England berusia 31 tahun itu telah menjaringkan gol ke-250 buat United apabila membuat penyudah menerusi sepakan percuma bagi menyelamatkan pasukannya ketika terikat 1-1 dengan Stoke City di tempat lawan dalam aksi Liga Perdana.

    Jaringan Rooney itu telah memintas rekod 249 jaringan United sebelum ini yang dilakukan legenda England dan pemenang Piala Dunia, Bobby Charlton pada tahun 1973. Namun, isu masa depan kapten United itu masih hangat diperbincangkan di Old Trafford, ketika khidmat bekas penyerang Everton itu kelihatannya kurang diperlukan pengurus, Jose Mourinho. Namun Ferguson percaya tempat Rooney dalam sejarah United masih lagi terjamin.

    “Saya fikir ia sudah bertahan selama 44 tahun dan apabila Wayne Rooney menyertai kelab, saya tidak pernah membayangkan akan ada pemain yang mampu mengatasi rekod Sir Bobby,” kata Ferguson.

    Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson (kanan) memberikan arahan kepada Wayne Rooney ketika dia masih mengendalikan United. – AFP
    Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson (kanan) memberikan arahan kepada Wayne Rooney ketika dia masih mengendalikan United. – AFP

    “Jadi pencapaiannya luar biasa. Ia menakjubkan, 200 permainannya itu kurang daripada rekod aksi Bobby dan itu menjadikannya lebih mengagumkan,” kata bekas pengurus United berkenaan yang membawa Rooney ke Old Trafford dari Everton pada 2004.

    “Saya tidak fikir (ada pemain akan mengatasi Rooney). Saya tidak berkata tidak, tetapi jika dilihat kepada bola sepak moden hari ini, Manchester United adalah antara beberapa kelab yang mampu mengekalkan pemain lebih daripada 10 tahun.

    “Namun, dalam era moden ini, kamu lihat ia sudah semakin kurang pemain kekal untuk tempoh berkenaan.

    “Contohnya, Jose (Mourinho) menamakan pemain muda, Marcus Rashford dan dia perlu menjaringkan lebih 20 gol semusim untuk tempoh 10 tahun akan datang dan ia pasti sukar, ” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda