Wednesday, November 6, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Feri hidrofoil elektrik mula beroperasi di Stockholm

    STOCKHOLM, 30 OKT – Sebuah perkhidmatan feri elektrik berteknologi tinggi mula beroperasi di Stockholm kelmarin, menawarkan pengangkutan rendah karbon kepada penumpang untuk melalui laluan air di ibu negara Sweden, yang dibina di atas 14 pulau.

    Dalam apa yang didakwa oleh Stockholm sebagai yang pertama di dunia, 25 penumpang di pinggir bandar Ekero menaiki Nova, sebuah feri hidrofoil yang dikuasakan oleh motor elektrik. Feri itu meluncur sekitar 1 meter di atas air dan menempuh jarak 15 kilometer untuk sampai ke Dewan Bandaraya Stockholm dalam masa 30 minit sahaja. Perjalanan pagi menggunakan feri biasa berkuasa diesel mengambil masa 45 minit tanpa henti.

    “Kami melakukan ini untuk menunjukkan jalan dalam peralihan hijau di laut,” kata Gustav Hemming, ahli majlis bandar yang bertanggungjawab terhadap iklim dan infrastruktur.

    Matlamat projek perintis selama sembilan bulan itu adalah untuk “mendorong lebih ramai orang meletakkan kereta mereka dan membeli kad pengangkutan awam.”

    Gustav Hasselskog, ketua eksekutif pengeluar bot elektrik Candela, menyifatkannya sebagai “satu perubahan paradigma bagi pengangkutan bandar dan kebangkitan semula laluan air kita.”

    Beliau berkata Nova adalah model P-12 baharu Candela yang pertama memasuki perkhidmatan. Sayap hidrofoil yang dikawal oleh komputer mengangkat badan feri di permukaan air, mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 80 peratus berbanding kapal konvensional dengan mengurangkan geseran air.

    “Kapal konvensional tidak banyak berubah dalam tempoh 100 tahun dan merupakan antara kaedah pengangkutan yang paling tidak cekap tenaga, hanya disamakan dengan kereta kebal,” kata Hasselskog dalam satu kenyataan.

    Mulai Selasa, Nova menjadi sebahagian daripada armada feri yang dikendalikan oleh penyedia pengangkutan awam Stockholm, SL. – AP

    Feri hidrofoil elektrik Nova bergerak semasa ujian di Stockholm pada 25 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda