Feri Indonesia karam, 18 terkorban

JAKARTA, 18 JUN – Jumlah korban jiwa insiden feri Indonesia karam telah meningkat kepada 18 orang, kata pihak berkuasa hari ini, kemalangan maritim terbaharu yang melanda kepulauan itu.

Bot terlebih muatan itu telah membawa sekitar 60 orang apabila ia terbalik kelmarin di lautan bergelora berhampiran pulau Madura, kata jurucakap polis Jawa Timur, Frans Barung Mangera.

Pasukan pencari dan penyelamat berkata 18 orang terkorban, termasuk beberapa kanak-kanak dengan 39 mangsa terselamat.

Beberapa buah kapal penyelamat, sebuah pesawat dan bot-bot nelayan sedang mencari kira-kira empat lagi yang masih dikatakan hilang di perairan tersebut.

Namun laporan tempatan telah mengatakan mungkin ada lagi mangsa-mangsa yang tiada dalam senarai manifesto rasmi.

Mangera dalam kenyataan itu turut mengatakan, bot itu disyaki membawa muatan berlebihan.

“Bot itu telah dipukul ombak besar, terbalik dan karam.”

Bot tradisional berukuran 10 meter panjang itu ditemui oleh nelayan sejurus selepas ia tenggelam.

Kemalangan marin perkara biasa berlaku di Indonesia, negara kepulauan Melayu yang memiliki lebih 17,000 pulau, di mana ramai yang menggunakan feri dan bot lain untuk membuat perjalanan meskipun diketahui standard keselamatannya lemah. – AFP

Penduduk kampung mengenal pasti mangsa kemalangan feri di Dungkek, Jawa Timur pada 18 Jun. – AFP