Feri Istanbul tawar perjalanan maritim dengan lebih selesa

ISTANBUL – Penularan wabak COVID-19 secara global telah banyak mengganggu sistem ekonomi sesebuah negara sehinggakan ada sesetengah negara mengalami kejatuhan ekonomi yang drastik dan memerlukan penyusunan semula strategi untuk membangunkan ekonomi.

Kesan ini juga turut dialami oleh syarikat pengangkutan awam kerana pada permulaan penularan wabak COVID-19, banyak negara menghentikan sementara waktu penggunaan pengangkutan awam bagi mencegah penularannya. Hal ini kerana pengangkutan awam merupakan tempat yang berpotensi tinggi bagi jangkitan virus tersebut oleh sebab jumlah pengguna yang terlalu tinggi di sesetengah negara.

Ketika keadaan virus semakin terkawal, beberapa negara mula membenarkan pengangkutan awam mereka untuk beroperasi semula dengan melakukan langkah-langkah penjarakan sosial bagi mencegah jangkitan.

Dalam masa yang sama, ketika inilah kebanyakan syarikat pengangkutan awam bergelut untuk mengembalikan semula ekonomi mereka yang jatuh. Sehinggakan ada yang sanggup mengurangkan harga bayaran demi memulihkan ekonomi mereka seperti pengangkutan feri di Istanbul yang mula mengurangkan bayaran yang dikenakan.

Sebuah feri komuter hendak berlayar dari daerah Karakoy yang sesak di sebelah Eropah di Istanbul menuju ke bahagian Asia, di mana Emrullah Oguz menaikinya pada hari Selasa lalu pada sebelah petang. Dengan harga di bawah satu lira Turki (AS$0.15 dolar), Oguz menyeberangi benua, menikmati pemandangan Selat Bosphorus yang indah, menghirup tehnya dan memberi makan burung camar.

Gambar dari pemandangan udara bertarikh 14 Julai 2020 menunjukkan feri-feri di Istanbul, Turki. – Xinhua
Orang ramai duduk di atas feri di Istanbul. – Xinhua
Feri berlayar di Selat Bosphorus. – Xinhua

Pada akhir bulan Jun lalu, Istanbul City Lines yang tergolong dalam perbandaran metropolitan mengumumkan bahawa kadar harga baharu garis maritim akan menjadi lima sen, hampir percuma. Kempen ini hanya terhad antara pukul 10 pagi hingga 4 petang, hingga akhir bulan Ogos.

“Setelah saya mendengarnya, saya berhenti menggunakan metro dan bas sebanyak mungkin,” kata Oguz kepada media.

Sebelum ini, kos menaiki feri yang beroperasi di laluan jarak jauh adalah 5.50 lira dan 3.50 lira untuk mereka yang berada di laluan jarak dekat dan tengah.

“Kami menyatakan dari kenyataan bahawa Istanbul adalah kota laut, dikelilingi oleh Laut Marmara di selatan, Laut Hitam di utara dan Selat Bosphorus di antaranya,” kata Sinem Dedetas, ketua Istanbul City Lines kepada media.

Ketika memeriksa kerja-kerja pemeliharaan di perkarangan kapal yang terletak di Golden Horn, dia berkata, “Tujuan utama kami adalah untuk menggabungkan garis maritim dengan jalan darat sekali gus menjadikan pengangkutan laut lebih menarik bagi penduduk Istanbul.”

Kempen itu sepertinya telah mencapai sasaran awalnya, kerana penggunaan feri telah meningkat sebanyak 49 peratus dalam tiga hari pertama setelah pengumuman potongan harga, data perbandaran menyatakan.

Dalam jangka panjang, Dedetas dan pasukannya merancang untuk mengubah keseluruhan dasar pengangkutan kota, dengan populasi lebih dari 16 juta, menjadi sistem berorientasi laut.

Untuk ini, anak buahnya telah melakukan beberapa simulasi, melakukan kajian integrasi secara keseluruhan untuk mengurangkan perihal lalu lintas darat dengan cara yang signifikan.

Untuk dapat mengurangkan kesesakan di tiga jambatan yang membentang di Bosphorus, mereka juga telah merancang garis menegak baharu untuk perkhidmatan feri kereta yang akan beroperasi di antara benua.

“Kami juga merancang untuk membuat masa menunggu orang ramai lebih menyenangkan dalam jangka pendek,” kata Dedetas.

“Kami akan mengubah setiap dermaga menjadi muzium yang akan menggabungkan sejarah dan budaya Istanbul.”

Pada pandangan Dedetas, feri juga merupakan alat transportasi yang pa-ling selesa di kota ini dalam hal mengikuti peraturan jarak sosial terhadap pandemik COVID-19 dengan paling mudah.

“Ancaman wabak belum berakhir, dan psikologi kita semua tidak begitu baik,” tambah Dedetas.

“Orang ramai dapat menikmati laut, duduk dengan udara terbuka dan menemukan semangat yang bebas dari risiko pencemaran,” katanya, sambil menyatakan bahawa feri dibenarkan membawa hanya separuh daripada jumlah kapasitinya untuk mengekang penyebaran koronavirus.

Kerana wabak itu, penggunaan pengangkutan laut menurun 92 peratus pada bulan Mac, April, dan Mei tahun ini.

“Ini adalah kerugian yang sangat kritikal,” lanjutnya. “Sekarang, kami melihat sedikit pemulihan. Tetapi masih terdapat 60 peratus kekurangan dalam jumlah penumpang.”

Untuk memperoleh sejumlah wang dan mengurangkan beban kewangan penumpang dengan kempen seperti itu, City Lines mulai lebih fokus pada kegiatan di perkarangan kapal, di mana pasukan tersebut melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kami baru-baru ini mulai mengambil beberapa tender dari dunia perniagaan di sektor swasta dan menyediakan perkhidmatan untuk mereka di perkarangan kapal kami,” tambahnya.

Tetapi pekerjaan Dedetas masih cukup mencabar, kerana menurut perbandaran, 49.2 peratus penduduk Istanbul memilih bas awam pada bulan Jun, dengan hanya 3.2 peratus dari mereka menggunakan laluan maritim. – Xinhua