Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Feri kandas berjaya lepasi perairan cetek

    MAUMERE, INDONESIA, 19 MEI – Penyelamat tentera Indonesia hari ini berjaya membebaskan sebuah feri membawa 800 penumpang yang terkandas dari perairan cetek di wilayah Timur Nusa Tenggara dan telah pun meneruskan perjalanannya.

    KM Sirimau yang membawa 784 penumpang dan 55 anggota kru terkandas di perairan itu selama dua hari dan berjaya ditunda keluar pada jam 12 tengah hari dengan kerja keras semua, kata ketua pangkalan tentera tempatan, Dwi Yoga kepada AFP.

    “Ia kini menuju ke pelabuhan terdekat di Lewoleba dan diperiksa di pulau Lembata sebelum meneruskan penjalannya ke bandar Maumere di pulau Flores,” katanya.

    “Syukur kepada Tuhan, bot ini sudah bebas dan kami kini menuju ke Lewoleba. Kami hampir sampai ke destinasi,” kata seorang penumpang, Itha Tating memberitahu AFP melalui panggilan telefon.

    Para penumpang mula bimbang selepas terkandas di atas bot itu selama dua hari, kata Tating, menambah seorang wanita panik kerana dia kehabisan susu tepung anaknya yang berusia lima bulan.

    “Ombak sangat kuat pagi ini. Saya takut dan amat pening kerana mabuk laut,” kata Tating.

    Tentera menaiki bot itu pada pagi ini untuk mengagihkan minuman dan makanan kepada penumpang, termasuk kanak-kanak dan orang tua.

    “Penumpang mula panik kerana mereka terkandas dalam bot selama lebih 24 jam,” kata Yoga.

    Usaha membebaskan bot itu daripada perairan cetek berjaya selepas sebuah bot tunda dihantar oleh syarikat perkapalan kerajaan, PT Pelni tiba untuk membantu. – AFP

    Seorang penumpang kelihatan mendukung anak damitnya ketika feri KM Sirimau ditunda ke pelabuhan Lembata, 19 Mei. Feri terkandas dua hari itu akhirnya berjaya ditunda keluar dari perairan cetek di wilayah Timur Nusa Tenggara. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...