Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Feri penumpang ke Langkawi terkandas di beting pasir

    ALOR SETAR, 16 SEPT – Sebuah feri membawa 567 penumpang ke Langkawi terkandas di beting pasir berikutan angin kencang di kedudukan 0.5 batu nautika dari Kuala Perlis, Perlis hari ini.

    Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata feri terbabit berlepas dari Terminal Jeti Penumpang Kuala Perlis pada jam 2:30 petang tadi.

    “Kerja-kerja memindahkan penumpang dari feri ke terminal jeti sedang diusahakan, bagaimanapun keadaan mungkin sukar.

    “Ketika ini kita minta penumpang untuk berada di bahagian belakang feri sebab feri ini besar dan situasi ini sedang dipantau oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata usaha untuk membawa 567 penumpang itu ke Terminal Jeti Penumpang Kuala Perlis akan diteruskan pada 8 malam ini sebaik air pasang.

    Baharin berkata tiga trip feri dari Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah menuju ke Langkawi hari ini yang membawa 679 penumpang juga terpaksa berpatah balik disebabkan ribut dan angin kencang di perairan Kuala Kedah. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda