Fernandes bantu United benam Basaksehir

MANCHESTER, 25 NOV – Ole Gunnar Solskjaer menegaskan Manchester United kembali ke landasan yang betul selepas mereka menebus kekalahan memalukan kepada Istanbul Basaksehir apabila melakarkan kemenangan 4-1 di Old Trafford semalam.

Pasukan Solskjaer dikejutkan oleh kelab Turki itu apabila tewas 1-2 dalam aksi Kumpulan H sebelum ini di Istanbul pada awal bulan ini.

Namun pasukan itu tidak lagi memberi peluang apabila kali ini mereka membelasah Basaksehir di Stadium Old Trafford.

Bruno Fernandes membuka jaringan di Old Trafford pada awal separuh masa pertama perlawanan dengan rembatan jarak jauh sebelum menggandakan kedudukan beberapa minit kemudian.

Dia berpeluang melengkapkan hatrik tetapi memberi peluang kepada Marcus Rashford untuk mengambil sepakan penalti untuk gol ketiga United sebelum masa rehat.

Aksi pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes (tengah) ketika melakukan rembatan gol semasa perlawanan Liga Juara-Juara UEFA menentang Istanbul Basaksehir di Stadium Old Trafford semalam. – AFP

Pemain Basaksehir, Deniz Turuc merapatkan jurang menerusi sepakan percuma, tetapi Daniel James mengesahkan kemenangan United di minit-minit akhir perlawanan.

“Saya rasa pada separuh masa pertama kami sudah dapat melihat apa yang mereka mahukan iaitu mereka hendak bermain dan menikmatinya,” kata Solskjaer.

“Ia adalah malam Liga Juara-Juara di Old Trafford yang anda mahu mereka menikmatinya. Kami meledakkan beberapa gol yang cantik, saya sangat berpuas hati.”

Selepas merakam kemenangan ketiga daripada empat perlawanan peringkat kumpulan, United kini hanya memerlukan satu mata daripada baki dua perlawanan untuk mara ke kelompok 16 terakhir.

Perlawanan seterusnya adalah menentang Paris Saint-Germain dan RB Leipzig.

“Kami memerlukan satu mata tapi sudah pasti kami mahu menang dan menjadi juara kumpulan namun kami memikirkan satu demi satu perlawanan,” kata Solskjaer.

Kekalahan United di Istanbul telah menimbulkan persoalan mengenai kemampuan Solskjaer untuk memegang jawatannya.

Tetapi kemenangan Liga Perdana Inggeris berturut-turut menentang Everton dan West Brom, diikuti dengan kejayaan ini mengurangkan tekanan kepada Solskjaer. – AFP