Fernandes bertegas tetap ambil sepakan penalti

LONDON, 26 SEPT – Bruno Fernandes berkata dia akan tetap mengambil sepakan penalti ‘tanpa sebarang ketakutan’ meskipun sepakan penaltinya tersasar semasa kekalahan Manchester United menentang Aston Villa 1-0.

Fernandes diberikan peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan di Old Trafford, kelmarin, selepas Kortney Hause meletakkan Villa di hadapan pada minit ke-88. Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan Fernandes selepas perlawanan, namun dengan kehadiran Cristiano Ronaldo mungkin membawa makna pemain berusia 27 tahun itu digugurkan daripada mengalas peranan tersebut.

Fernandes menulis menerusi Instagramnya berkata, “Tiada siapa yang lebih kecewa berbanding saya kerana terlepas sepakan penalti dan menyebabkan kekalahan.

“Saya selalu memikul tanggungjawab dan sentiasa mengawal diri semasa tekanan. Hari ini, saya gagal. Akan tetapi saya akan melangkah ke hadapan dan menghadapi cabaran dengan cita-cita dan tanggungjawab yang sama, seperti sebelumnya di mana bola berjaya melepasi gawang.” – AFP