KUALA LUMPUR, 4 FEB – Ketua eksekutif AirAsia Tony Fernandes telah meletak jawatan daripada syarikat sementara pihak berkuasa menyiasat bayaran luar biasa di firma penerbangan Malaysia, tatkala kesan sampingan daripada denda rasuah berjumlah AS$4 bilion di Airbus membelenggu seluruh industri.
Keputusan mengejutkan itu dibuat selepas Pejabat Penipuan Serius (SFO) Britain mengeluarkan butir-butir siasatan yang mendapati individu berkaitan dengan pembuat kapal terbang itu telah membayar untuk menjamin perjanjian dengan AirAsia dan unit jarak jauh, AirAsia X.
Fernandes dan pengerusi eksekutif Kamarudin Meranun berkata dalam satu kenyataan lewat semalam: “Kami sedang melucutkan peranan eksekutif kami berkuat kuasa serta-merta untuk tempoh dua bulan, atau tempoh lain yang difikirkan sesuai oleh syarikat.”
Mereka menambah ‘mereka telah menafi kesemua dakwaan kesalahan atau salah laku bagi pihak pengarah AirAsia. Kami tidak akan menjejas syarikat yang telah kami habiskan seumur hidup kami untuk bangunkan sehingga mencapai status global mereka sekarang.” Mereka akan kekal bersama syarikat sebagai penasihat, kata mereka.
Fernandes yang telah menjadi salah seorang pelanggan paling setia Airbus dan syarikat tambang murah, yang dibelinya dengan harga satu ringgit pada 2001, adalah pelanggan pengeluar Eropah terbesar untuk jet satu lorong.
Berita itu menyebabkan saham dalam AirAsia merosot lapan peratus hari ini, setelah merosot lebih 10 peratus pada hari sebelumnya ekoran pendedahan siasatan SFO.
Tan Kam Meng, penganalisis dengan firma pembrokeran tempatan TA Securities, mengingatkan tentang kerugian lebih besar jika Fernandes dan Kamarudin didakwa.
“Jika siasatan tidak memihak kepada mereka atau mereka didakwa di mahkamah, kesannya adalah teruk untuk pemegang saham,” beritahunya kepada AFP. “Saya terkejut dengan berita rasuah ini.”
Mahkamah di Perancis pada minggu lalu berkata Airbus telah bersetuju membayar denda 3.6 bilion euro kepada Britain, Perancis dan Amerika Syarikat untuk menyelesai siasatan rasuah yang dicetuskan oleh penjualan peralatan yang meragukan. – AFP





























