MANAMA, 18 April – Presiden Ferrari, Sergio Marchionne berkata dia dan pasukannya sekarang merasa ‘yakin sepenuhnya’ untuk meningkatkan cabaran kejuaraan berikutan kemenangan Sebastian Vettel dalam Grand Prix Bahrain pada Ahad lalu.
Marchionne percaya Ferrari sekarang ‘berada di barisan depan kejuaraan dunia’, katanya berikutan pemanduan menarik juara empat kali itu untuk kemenangan.
“Sudah tentu, ia menggembirakan untuk kembali melangkah di atas podium bersama Seb,” kata Marchionne.
“Lebih penting, kami merasa yakin bahawa kemenangan kami di Melbourne (musim pembukaan) bukanlah nasib dan kami berada di barisan depan kejuaraan dunia sehingga ke akhirnya.
“Kami akhirnya memiliki kereta yang kompetitif untuk diharapkan dan ia adalah penting untuk melihat kelajuan yang mana kami memenuhi permintaan perkembangan bagi setiap perlumbaan baru.

“Kesemua ini adalah hasil tugasan di litar dan di Maranello, jadi pujian saya bukan hanya kepada Seb bagi pencapaiannya di Bahrain, tetapi juga kepada keseluruhan pasukan.”
Kenyataan presiden itu menyokong rasa optimis Ferrari selepas hujung minggu yang menyaksikan juara bertahan, Mercedes yang berada di bawah tekanan serius buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.
Vettel berkata kemenangannya dihasilkan di atas pergerakan penting lebih awal apabila dia mengasingkan dua Mercedes pada awal perlumbaan, bergerak dari kedudukan ketiga grid kepada kedudukan kedua.
Ia adalah kemenangan kedua Vettel musim ini, ketiganya di Bahrain dan ke-44 sepanjang kerjayanya.
“Ia adalah penting bagi kami untuk berada di antara mereka dan tidak membiarkan mereka di depan dan melakukan perkara mereka,” kata Vettel. – AFP