Ferrari, McLaren tandatangani perjanjian baharu F1

LONDON, 19 OGOS – Pasukan Ferrari dan McLaren kelmarin menjadi pasukan pertama untuk mengesahkan bahawa mereka telah menandatangani Perjanjian Concorde baharu mengenai masa depan perlumbaan Formula Satu.

Perjanjian itu akan merangkumi musim 2021 hingga 2025 dan dibuat selepas rundingan sengit selama bertahun-tahun dengan pihak komersial sukan.

“Kami gembira kerana dapat menandatanganinya sekali lagi. Ia adalah langkah penting untuk memastikan kestabilan dan perkembangan sukan,” kata CEO Ferrari, Louis Camilleri dalam satu kenyataan.

“Kami sangat yakin bahawa kerjasama dengan FIA dan Liberty Media mampu menjadikan Formula Satu lebih menarik dan hebat”.

Ferrari adalah satu-satunya pasukan yang mengambil bahagian dalam setiap musim Kejuaraan Dunia F1 sejak 1950.

“Ini adalah kemuncak sukan permotoran dan wajar bagi pasukan yang paling berjaya dalam Formula Satu yang sentiasa menjadi protagonis, harus diteruskan selama bertahun-tahun akan datang,” tambah presiden FIA, Jean Todt dalam kenyataan Ferrari.

Sukan ini telah dikendalikan berdasarkan terma Perjanjian Concorde sejak 1981. Pasukan, FIA dan penganjur Formula Satu telah merahsiakan kandungan perjanjian tersebut.

“Formula Satu telah mengambil satu lagi langkah penting ke arah masa depan yang cerah dengan perjanjian baharu. Ia adalah perjanjian yang tepat pada masanya untuk sukan, para pemilik, pasukannya dan yang paling utama, para peminat,” kata CEO McLaren, Zak Brown

“Sukan yang lebih adil adalah lebih baik untuk semua orang: keseimbangan yang lebih baik dalam pembahagian pendapatan di kalangan semua pasukan dan pengurusan yang lebih telus dan sederhana dapat mengatasi kepentingan tersendiri dan mengutamakan sukan”. – AP

Pasukan Ferrari dan McLaren telah menandatangani perjanjian Concorde baharu yang merangkumi musim 2021 hingga 2025. – AP