Ferrari terus suram

MONZA, 6 SEPT – Perkara yang paling ditakuti Ferrari akhirnya menjadi kenyataan apabila tidak ada satu pun jentera mereka bakal memulakan saingan di gelanggang sendiri di Grand Prix (GP) Itali untuk kedudukan 10 terbaik buat kali pertama sejak 1984.

Dalam persembahan suram di tempat penuh bersejarah dan harapan yang tinggi, Charles Leclerc, juara tahun lalu selepas bermula di petak utama, hanya mencatat masa 13 terpantas, manakala juara dunia empat kali, Sebastian Vettel bermula di petak ke-17.

Vettel akan menjadi pemandu Ferrari pertama memulakan perlumbaan GP Itali di luar kedudukan 15 terbaik sejak 1966, di mana kali terakhir yang dilakukan Giancarlo Baghetti meraih petak ke-16.

Selepas tidak meraih sebarang mata di GP Belgium Ahad lalu, ia adalah satu episod memalukan buat ‘scarlet scuderia’, namun ia tidak mengejutkan pelumba mereka.

“Akhir sekali, kami memang menjangkakan sesuatu yang kurang baik akan berlaku hujung minggu ini.

Pemandu Ferrari Sebastian Vettel semasa mengambil bahagian dalam sesi kelayakan di litar Autodromo Nazionale di Monza. – AFP

“Kami tahu bahawa Spa dan di sini, adalah antara litar yang akan menyusahkan kami, di mana satu lagi mungkin akan berlaku pada akhir tahun ini.

“Ia sangat sukar kerana selepas anda melakukan satu pusingan yang bagus dan ia hanya kedudukan ke-13, ia memberi petanda kurang selesa.

“Jadi sekarang kami harus memberikan aksi paling maksimum dengan jentera ini mengikut situasi sekarang. Itulah yang akan cuba saya lakukan,” kata Leclerc.

Dia berharap satu perubahan dapat dilakukan menjelang GP Tuscany, di mana Ferrari meraikan sambutan ke-1,000 dalam penampilan di perlumbaan Formula Satu.

“Sudah pastinya, ia menyakitkan lebih-lebih lagi di tempat sendiri,” kata Leclerc. “Kami perlu berusaha dan mudahan untuk Mugello, tempat asal Ferrari, kami akan mencatat prestasi lebih baik.

“Saya berharap mulai perlumbaan akan datang, kami akan melihat sinar harapan disebabkan ia adalah dua hujung minggu amat sukar bagi kami.

Kami perlu merendahkan diri, kekal bersemangat dan hari-hari yang lebih baik bakal tiba.” – AFP