Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Dalam usaha memperkenalkan hubungan sastera dengan disiplin ekonomi kepada warga universiti dan orang ramai, mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir di bawah modul Pengurusan dan Pemasaran Sastera, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan Festival Sastera (Festera) 2023 yang diadakan di Dewan Serba guna, Kolej Kediaman Siswi, UBD, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan festival yang turut diungkayahkan bersama mahasiswa dan mahasiswi daripada modul Sastera dan Pendidikan dan modul Penyuntingan dan Penerbitan Produk Sastera berkenaan ialah Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Dr Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud diikuti dengan menyaksikan pameran pada akhir acara sesi pagi.
Terdapat lima tajuk pameran yang diketengahkan iaitu Nilai-nilai Sastera dalam Filem; Sastera dan Lagu; Sastera dalam Permainan Video; Penggunaan Aplikasi dalam Pembelajaran Sastera; dan Lencana Butang.
Pada pembukaan festival berkenaan, persembahan sketsa berjudul Klik Tapi Benar! ditampilkan Kelab RAKIS UBD dan persembahan sajak Mata Ayah oleh Awang Hajib Sarhan.
Sementara itu, pada sebalah petang, sesi kongsi sama diadakan daripada tiga hasil kertas kerja mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir berkenaan yang merangkumi tajuk Menjana Ekonomi Sastera, Senario Kontemporari Perpuisian Nusantara, dan Maqasid Syariah dalam Karya Sastera.
Selain itu, sesi sembang sastera bersama alumni juga menjadi salah satu pengisian acara tersebut.
Dengan adanya acara berkenaan, ia diharap mampu mendedahkan generasi muda kepada trend ekonomi sastera terkini dan skop ruang kerja pengurusan yang berasaskan ilmu dan pengetahuan sastera.
Di samping, melalui ilmu dan pengetahuan sastera juga secara tidak langsung mampu membuka minda bukan hanya para mahasiswa dan mahasiswi bahkan juga para pengunjung bahawa sentuhan produk karya berasaskan nilai-nilai sastera juga dapat dihasilkan demi menjana pendapatan sampingan mahu pun sepenuh masa.
Sebanyak 13 buah vendor terdiri daripada golongan pengusaha produk makanan dan minuman, pakaian dan sebagainya turut memeriahkan festival tersebut.