Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival air bermula

    BANGKOK, 14 April – Penduduk Thailand yang bertemasya dengan membawa bersama senapang air plastik memenuhi jalan-jalan raya di Thailand hari ini bagi hari kedua pertarungan berair untuk meraikan tahun baru tradisional negara beraja itu.

    Dikenali sebagai Songkran, cuti Thailand diraikan dengan memberi penghormatan kepada mereka yang berusia dan memercikkan air ke atas figura Buddha di kuil-kuil tempatan.

    Tetapi festival pertarungan air itu juga menjadi salah satu yang terbesar di dunia.

    Setiap April pesta-pesta di jalan raya meletus di seluruh negara ketika beratus-ratus ribu warga Thailand dan pelancong dengan mengenakan baju berbunga-bunga dan membasahkan antara satu sama lain dengan pistol air beraneka warna.

    Festival air serupa tetapi lebih kecil juga diadakan di negara-negara jiran yang agama rasminya, Buddha, seperti Myanmar dan Laos.

    Kanak-kanak bermain dengan pistol air semasa pesta Songkran di jalan Silom, Bangkok pada 13 April. – AFP
    Kanak-kanak bermain dengan pistol air semasa pesta Songkran di jalan Silom, Bangkok pada 13 April. – AFP

    Warna-warna yang terutamanya menyerlah tahun ini di Bangkok, yang mana ramai orang mengenakan pakaian hitam dan putih dalam tempoh enam bulan lalu untuk berkabung di atas kemangkatan raja yang amat dihormati pada Oktober lalu, Raja Bhumibol Adulyadej.

    “Pada waktu kemuncaknya, saya rasa terdapat ratusan ribu orang di Silom,” kata pegawai bandar Vallop Suwandee kepada AFP, merujuk kepada perbandaran daerah Bangkok yang menjadi tumpuan utama Songkran. “Situasi keseluruhannya dalam keadaan teratur,” tambahnya.

    Ramai melihat perayaan basah ini sebagai kelegaan penuh keseronokan daripada cuaca panas yang mencengkam Thailand ketika musim panas dan kering. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda