Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Syarikat Heroes Event Management selaku penganjur utama Festival Air Brunei telah melanjutkan permainan gelongsor air sepanjang 500 kaki yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini selama lima hari bermula hari ini sehingga 14 Januari.
Lanjutan festival yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu adalah bersempena dengan Promosi Kembali ke Sekolah yang mana syarikat berkenaan mengenakan bayaran masuk bagi setiap pelanggan dengan satu kali gelongsor dalam satu masa.
Semasa ditemui Media Permata, Pengarah Urusan Syarikat Heroes Event Management, Aaron Goh menjelaskan bahawa tujuan utama syarikat itu mengadakan promosi selama lima hari berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak termasuklah ibu bapa mereka serta orang ramai untuk bersama-sama merasai keseronokan permainan gelongsor ini.
Oleh itu, promosi berkenaan merupakan suatu langkah yang baik untuk diteruskan dalam beberapa hari lagi, ujarnya.
Selain itu, antara tujuan lain promosi adalah sebagai inisiatif bagi para pelanggan yang hanya ingin mencuba permainan gelongsor ini dalam masa yang tidak terlalu lama yang mana sebelumnya festival ini telah menawarkan minimum selama dua jam bagi setiap pelanggan yang membuat pembelian tiket mengikuti masa-masa yang tertentu.
Sejak festival berkenaan dirasmikan pada 29 Disember sehingga 7 Januari lalu, syarikat berkenaan telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai meliputi semua lapisan masyarakat yang mana seramai 2000 orang pengunjung telah merasai keseronokkan dan kemeriahan permainan gelongsor air sepanjang 500 kaki itu.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama memeriahkan lanjutan festival yang julung-julung kalinya diadakan itu.