Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Pelbagai aktiviti telah memeriahkan Festival Budaya dan Bahasa Jepun 2020 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Pusat Membeli-Belah Times Square, Berakas.
Perasmian festival berkenaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah Lim. Turut memotong reben bagi merasmikan festival itu, semalam, ialah Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Eiji Yamamoto dan isteri, Yoshiko Yamamoto.
Turut hadir semasa majlis perasmian itu ialah Pengarah Urusan Times Square, Dayang Amal Majidah binti Haji Suhaili. TYT Eiji Yamamoto dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa acara itu telah diadakan selama 10 tahun dan kali ini ia diserikan oleh kumpulan pemuzik tradisional Jepun, Yamanaka. Beliau menekankan bahawa pengenalan budaya bukan satu-satunya jalan untuk lebih akrab, tetapi salah satu ikatan bersama di mana satu budaya akan berinteraksi antara satu sama lain.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan muzik Jepun oleh kumpulan Yamanaka yang terdiri daripada empat pemuzik iaitu Yamanaka Nobuto (Tsugaru-shamisen), Katano Satoshi (Shinobue), Taka dan Tsukamoto Junya (Wadaiko).
Semasa majlis berkenaan, tetamu kehormat bersama para jemputan khas lainnya juga dibawa melawat ke petak-petak jualan yang ikut serta terdiri daripada usahawan tempatan yang menawarkan produk Jepun seperti Otaku Corner, Komugi Japanese Bakery, MC Biotech Sdn Bhd dan Standard Chartered Bank.





























