Festival Disember Brunei tampil lebih 40 acara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Festival Disember Brunei kembali untuk kali ketiga di mana acara yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan pelancongan dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan itu terus menyaksikan perkembangan yang positif ke arah usaha menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pilihan bagi para pengunjung dari dalam dan luar negara dengan lebih 40 acara menarik diatur untuk diadakan di keempat-empat daerah sepanjang Disember nanti.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali semasa Majlis Siaran Media Festival Disember Brunei 2019 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, hari ini.

Majlis itu dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim dan Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, wakil dari jabatan-jabatan kerajaan serta jemputan khas.

Awang Wardi menerangkan bahawa Festival Disember Brunei 2018 telah menarik lebih daripada 173,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negara di mana sebanyak 60 buah acara diadakan sepanjang festival berkenaan di seluruh negara.

Beliau yakin bahawa festival kali ini, yang mengetengahkan lebih 40 acara dengan acara-acara baharu dan juga acara yang menjadi pilihan, akan terus menjadi tarikan bagi bukan sahaja pelancong dari luar negara tetapi juga pengunjung dari dalam negara bagi menyokong usaha bercuti di dalam negeri.

Awang Wardi (dua, kanan) semasa Majlis Siaran Media Festival Disember Brunei yang diadakan di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, kelmarin.
Awang Wardi bergambar ramai bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan wakil-wakil pihak yang berkepentingan selepas Majlis Siaran Media Festival Disember Brunei 2019 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.

Beliau menyatakan bahawa acara-acara yang disediakan sepanjang festival berkenaan adalah sesuai untuk penyertaan daripada seisi keluarga dan pelbagai peringkat umur daripada pertandingan, aktiviti riadah, kesenian dan pesta jualan.

Antara acara-acara menarik yang diadakan semasa festival itu, jelas beliau, ialah Pesta Makanan di mana orang ramai akan berpeluang untuk menikmati kejayaan hidangan gastronomi dan pembuat roti berbakat di Brunei dalam pelbagai acara menarik seperti Pesta Makanan Antarabangsa bersama IWC Brunei, Pertandingan French Baking, The Big Bake Sale dan Startup Weekend Brunei Entrepreneur.

Festival Islam yang meraikan keindahan seni dan budaya Islam melalui Perkhemahan Belia Islam dan Festival Islam Antarabangsa Brunei 2.0 juga akan diadakan serta pelbagai acara sukan dan pengembaraan seperti Kejohanan e-Sukan Brunei, Cabaran Off-Road Brunei Ke-2, Cabaran Alpha 2019, BWN Arena 2019, BUKUM dan Jungle Quest.

Selain daripada itu, acara yang mengetengahkan kebudayaan dan seni kreatif juga akan diadakan bagi para pengunjung dalam dan luar negara termasuk Brunei Film Blitz 2019, Acara Muzikal Amal Pusat Ehsan, Seed 10 Phantom, Music Festival and Stardom Quest Season 4 dan REKA-Culture and Arts.

Bagi mereka yang ingin beriadah dan membeli-belah, festival kali ini juga mengetengahkan pelbagai acara seperti The Great Circus with Lighting Show, Jerudong Park Mega Fun Family Carnival 2019, Brunei Kustom Show, The Big Car Boot Sale, Capital Bike Week 2019, Charity Fruit and Food Fest 2019 dan Karnival Mini ke-16.

Festival Disember Brunei dihasratkan untuk menarik orang ramai untuk bercuti di dalam negara, merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dan antarabangsa dengan menjadi Brunei sebagai salah satu destinasi percutian pilihan.

Festival itu juga diadakan selari dengan acara jualan tahunan, Brunei Salebration, yang dihasratkan untuk menggalakkan orang ramai supaya berbelanja di Brunei supaya akan dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik dan meningkatkan peluang-peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Penganjuran festival itu merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan warga Brunei memilih negara sendiri sebagai destinasi pilihan pertama untuk bercuti dan seterusnya berbelanja di dalam negara bagi menjana ekonomi Negara Brunei Darussalam.

Selain daripada itu, ia juga merupakan sebagai platform bagi orang ramai di negara ini serta pelancong yang berkunjung ke negara ini menyertai acara-acara dan aktiviti yang telah disusun.