Festival Disember kembali lagi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Festival Disember Brunei kini kembali lagi buat kali kedua dengan menampilkan 45 acara menarik yang telah diatur untuk diadakan di negara ini sepanjang Disember nanti.

Perkara ini telahpun dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali yang juga selaku Setiausaha Lembaga Pelancongan Brunei semasa sesi sidang media yang berlangsung di Atrium Times Square, petang tadi.

Turut hadir semasa persidangan itu ialah wakil-wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Kementerian Perhubungan yang mana masing-masing juga membincangkan antara acara-acara yang diadakan di bawah kementerian masing-masing.

Di samping itu juga, presiden Ejen Pelancongan Brunei, presiden Persatuan Hotel Brunei dan pengarah eksekutif Times Square Group of Companies juga hadir dan memberikan taklimat mengenai tawaran menarik mereka bagi menyokong Festival Disember Brunei 2018.

Menurut Awang Wardi lagi, Festival Disember Brunei tahun lepas telah berjaya menarik lebih 40,000 pengunjung di dalam dan di luar negara, dengan sejumlah 40 acara yang diadakan di keempat-empat daerah.

Awang Wardi semasa menyampaikan poster-poster kepada wakil-wakil kementerian, presiden Ejen Pelancongan Brunei, presiden Persatuan Hotel Brunei, pengarah eksekutif Times Square Group of Companies dan lainnya.

Tahun ini jelasnya lagi, terdapat pelbagai acara yang baru juga telahpun diisikan dan ditambah bagi menarik lagi perhatian para pengujung ke Festival Disember Brunei 2018 yang dibahagikan kepada lima bahagian iaitu Festival Makanan, Festival Islamik, Sukan dan Pengembaraan, Budaya dan Seni Kreatif serta Rekreasi dan Jualan.

Beliau menjelaskan lagi, melalui Festival Makanan ia diharap dapat memperkayakan gastronomi di Brunei dan antara acara-acara yang telahpun diatur bagi Festival Makanan ini ialah seperti The Big Bake Sale, Seafood Saturday dan juga Taste of Canada.

Sementara itu, Festival Islamik adalah bagi meraikan keindahan dan kesenian dalam kebudayaan Islam.

Antara acara-acara yang akan diadakan sepanjang bulan Disember nanti ialah Festival Dunia Nasyed dan juga Kempen Belia Muslim.

Awang Wardi menambah, bagi Festival Sukan dan Pengembaraan ianya akan menampilkan pelbagai aktiviti dan pertandingan sukan serta pengembaran seperti Brunei BIMP-EAGA Games 2018, Brunei E-Sport Tournament, Brunei Darussalam Shitokai Open Championship 2018, 3rd Green Jewel Night Run, Festival Air Brunei dan World Traditional Archery Competition.

Antara acara yang telah disusun bagi Budaya dan Seni Kreatif ialah seperti Film Blitz, Art Exhibition ‘Kasih Raja Kepada Rakyat’ dan RGC Floral Festival.

Manakala itu, jelasnya lagi, YES Letop, Brunei Salebration dan juga Pertandingan Fotografi adalah antara acara-acara yang bakal diadakan di bawah Bahagian Rekreasi dan Jualan.

Festival Disember Brunei diisikan dengan pelbagai acara yang sesuai bagi semua peringkat umur dan ianya diharap akan dapat menggalakkan warga Brunei memilih Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pilihan pertama untuk bercuti dan seterusnya berbelanja dalam negara bagi menjana ekonomi Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, ia juga merupakan sebagai platform bagi orang ramai di negara ini serta pelancong yang berkunjung ke negara ini menyertai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang telah disusun.

Beliau juga menambah, persidangan hari ini diumumkan pada peringkat yang awal untuk meningkatkan lagi kesedaran kepada orang ramai bagi bulan Disember nanti dan memberikan syarikat-syarikat penerbangan, restoran-restoran serta syarikat-syarikat yang lainnya peluang untuk menyertai dan bekerjasama dalam menjayakan lagi Festival Disember Brunei 2018.

Senarai-senarai acara bolehlah didapati di www.brunei.events dan juga media sosial.