Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Festival Jubli Emas Bangunan Pusat Belia Bandar Seri Begawan yang mengetengahkan pelbagai aktiviti untuk disertai oleh pelbagai peringkat umur telah dirasmikan hari ini di dewan pusat berkenaan.
Perasmian festival yang akan berlangsung sehingga 9 Februari itu disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menyampaikan barangan bantuan ‘Projek Berbagi Rezeki’ untuk mangsa kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama.
Terdahulu itu, Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Dayang Mariam binti Ulat dalam ucapannya antara lain menjelaskan, dengan adanya festival berkenaan, masyarakat khususnya belia berpeluang mengetahui lebih dekat mengenai program yang ditawarkan dan memaksimumkan penggunaan kemudahan yang disediakan sebagai wadah perkumpulan belia di pusat berkenaan.
Beliau seterusnya menambah, antara pengisian yang disusun sepanjang festival berkenaan termasuk persembahan pentas dan pameran, jual-jualan, permainan tradisi, kursus serta bengkel kecantikan, demonstrasi masakan, sukan dan rekreasi, kelas bacaan Al-Quran dan lain-lainnya.
Beliau berkata, melalui pengisian aktiviti berkenaan, ia akan bertepatan dengan tujuannya terutama dalam menjunjung dan menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sering menekankan mengenai golongan belia sebagai aset negara. Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang berkunjung seterusnya menyertai aktiviti-aktiviti berkenaan.
































