Festival Kiudang mampu promosikan pelancongan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 1 Jan – Untuk memberikan keceriaan serta mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan kampung, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang Daerah Tutong dengan Kerjasama Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dan Cityneon Brunei telah menganjurkan Festival Kiudang 2016.

Festival di kawasan Gerai Muafakat Kampung Kiudang yang berlangsung selama dua hari bermula dari 31 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 itu dilancarkan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain, yang juga tetamu kehormat majlis.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, Awang Muhd Amir bin Haji Umarali selaku pengerusi bersama festival, acara ini merupakan penanda aras kepada MPK Kiudang untuk menjalin kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan.

Festival ini juga merupakan salah satu strategi untuk mempromosi Industri Pelancongan Kampung Kiudang dan platform terbaik untuk memantapkan lagi aktiviti lawatan berkonsepkan Eko Perlancongan Berasaskan Komuniti (CBET) yang menarik dan berdaya tahan di Daerah Tutong, jelas Awang Muhd Amir lagi.

Pakej lawatan Kampungku Tour juga disediakan bagi memberi peluang kepada orang ramai melawat tempat pemprosesan teh herba 3MPK dan Pusat Kebudayaan Galeri Ariffin yang dikendalikan oleh Badan Penyelaras Promosi Pelancongan Daerah Tutong dengan kadar harga yang menarik.

Sebilangan etnik di Kampung Kiudang bergambar ramai sempena Festival Kiudang 2016.
Sebilangan etnik di Kampung Kiudang bergambar ramai sempena Festival Kiudang 2016.

Awang Shamsul Bahrin menyaksikan pameran dan jualan sempena Festival Kiudang 2016.
Awang Shamsul Bahrin menyaksikan pameran dan jualan sempena Festival Kiudang 2016.
Cabaran memasak turut memeriahkan Festival Kiudang 2016.
Cabaran memasak turut memeriahkan Festival Kiudang 2016.

Lebih 30 buah petak jualan, cabaran-cabaran dan permainan keluarga menerusi pek permainan keluarga dan sukan ria telahpun disediakan bagi menceriakan festival di samping membantu merangsang perekonomian penduduk setempat terutama dalam perusahaan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) serta pengusaha kecil dan sederhana (PKS) melalui jualan-jualan bazar yang disediakan.

Dalam tempoh dua hari festival ini berlangsung, para pengunjung berkesempatan menyaksikan pameran dan jualan bazar.

Beberapa aktiviti dan kegiatan menarik juga dijalankan, antaranya ialah kejohanan futsal, persembahan kebudayaan, kampungku parade, cabaran memasak, permainan untuk keluarga, sukan ria, perlawanan tarik kalat dan cabaran permainan kendama.

Cityneon Brunei yang menyertai festival itu turut menyediakan 10 jenis permainan melalui Kiudang Games 2016 seperti ‘knock the can’, ‘ring toss’, ‘e-shock’ dan banyak lagi.