Sunday, December 4, 2022
31.7 C
Brunei

-

Festival kopi Indonesia-Sarawak hingga 30 Julai

KUCHING, 28 Julai – Festival Kopi Indonesia-Sarawak yang bermula hari ini hingga 30 Julai di pusat beli-belah CityOne Megamall menampilkan 20 gerai pempamer pengusaha kopi dari Medan, Jakarta dan Pontianak.

Naib Konsul Jeneral Republik Indonesia (Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan) di Kuching Ringgi Perdini berkata festival tiga hari itu bertujuan memperkenalkan keunikan rasa kopi dari pelbagai daerah republik itu kepada peminat di sekitar bandar raya ini.

“Selain itu kita juga berharap pengusaha kopi dari Indonesia dapat memasarkan hasil komoditi ini menerusi pemadanan perniagaan yang telah diadakan melibatkan pembeli dari Sarawak, Sabah dan Singapura yang telah diadakan semalam (Khamis),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Antara lain, penganjur festival turut menyediakan aktiviti sesi menguji kopi, demonstrasi barista, tayangan filem, cabutan bertuah serta persembahan khas daripada penyanyi popular Indonesia Hetty Koes Endang buat pengunjung yang hadir.

Beliau berkata majlis perasmian akan disempurnakan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Jahar Gultom esok.

Pengusaha Kopi Pak RM Ramlan Meliala dari Berastagi, Sumatera Utara berkata beliau membawa 20 kilogram kopi arabica karo untuk pameran kali ini.

“Saya bawa 20 kilogram kopi Arabica Karo atau kopi Berastagi yang ditanam pada ketinggian 1,200m hingga 1,600m dari aras laut di Gunung Sinabung. Kopi ini terkenal dengan rasanya seperti ‘jeruk’ kerana pokok kopi di tanah tinggi ini ditanam berselang seli dengan pokok limau,” katanya yang memiliki 4 hektar ladang kopi.

Ramlan turut menjual kopi berastagi pada harga RM25 untuk 200gram dan berharap dapat memperkenalkan keenakan kopi tersebut kepada peminat di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.

A. Rachman dari Pontianak pula mengusahakan perusahaan kopi sepok (kopi kampung) yang dihasilkan secara tradisi dengan membakar menggunakan arang.

“Saya gunakan kopi jenis Robusta yang ditanam di Sungai Jawi, Pontianak. Kopi dibakar menggunakan arang untuk mengekalkan keasliannya berbanding kopi lain yang ketika ini sudah menggunakan mesin,” katanya sambil menambah kopinya turut dijual di festival itu dengan harga RM5 hingga RM25. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -