Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Festival lumba kerbau jadi penanda musim tanam padi

    CHONBURI, THAILAND – Anak muda yang sedang berlari-lari, mengelak dan mencelah di tengah-tengah kumpulan orang ramai yang berlindung daripada cuaca panas yang melemaskan, sebelum menyimbah air pada kerbau yang bersedia untuk bertanding dalam acara tradisional tahunan iaitu perlumbaan kerbau di Chonburi, Thailand.

    Acara tradisi tahunan yang sering meriuhkan suasana dengan sorakan dan mungkin sedikit huru-hara itu menandakan bermulanya musim untuk menanam padi – dengan suasana festival di wilayah timur itu akhirnya diadakan buat kali pertama selepas dua tahun. Selain itu, acara utama dalam festival itu menyaksikan empat ekor kerbau berlumba di sepanjang ladang padi, dengan pelumba yang menyertainya memecut dengan hanya berkaki ayam di ladang berlumpur itu dan berusaha untuk mengawal serta memastikan kerbau-kerbau mereka untuk berada dalam haluan betul hingga ke barisan penamat.

    “Sebelum perlumbaan bermula, kami berasa teruja dan cemas,” kata Sompong Ratanasatien, 33, yang kelihatan basah kuyup dan berusaha mencari nafas selepas perlumbaan itu.

    Dalam acara tersebut, rintangan yang paling sukar adalah pada barisan permulaan, katanya, di mana para pelumba mesti menunggu bunyi wisel ketika mereka berusaha untuk mengawal kerbau mereka agar berada di posisi dan menenangkannya.

    “Selepas itu, keputusan perlumbaan itu tergantung bagaimana kami menggunakan kemahiran kami mengawal kerbau,” kata Ratanasatien, peserta acara tradisional yang meraikan kemenangannya berturut-turut dengan kerbaunya yang diberi nama Kao.

    Seorang wanita dilihat membawa bajak kayu yang digunakan untuk perlumbaan kerbau pada festival tersebut. – AFP
    Antara peserta yang terdiri daripada peladang mengawal kerbaunya semasa festival musim menanam padi di Chonburi. – AFP
    Salah seorang peladang yang tiba dengan kerbaunya untuk menyertai festival bagi meraikan permulaan musim menanam padi di Chonburi. – AFP
    Pelumba dilihat menyiram kerbaunya dengan air sebelum memulakan perlumbaan tradisional itu. – AFP

    Dengan menggunakan sejenis cemeti yang diperbuat daripada buluh dan besi pada hujungnya, ia boleh digunakan untuk mengawal binatang itu tetapi jika ia tidak mengenali pengguna, ia boleh menyebabkan binatang berkenaan mengamuk di ladang padi.

    Dalam acara perlumbaan tersebut, ia dibahagikan mengikut kategori berat dan saiz. Ini disebabkan binatang yang lebih berat adalah sedikit perlahan tetapi ia memerlukan beberapa kemahiran untuk mengawal kerbau dengan saiz seperti itu. Oleh itu, para pelumba bekerja keras dan berlatih bersama kerbau mereka selama beberapa minggu membuat persiapan, namun kemenangan masih lagi menjadi tanda tanya.

    Banyak perlumbaan yang bermula sebelum wisel ditiup oleh penganjur dan menyaksikan para peserta diheret oleh kerbau mereka sendiri di ladang berlumpur itu.

    “Saya rasa orang biasa tidak dapat melakukannya,” kata Within Lueanguksorn, penonton yang berasal dari Bangkok datang ke kampung itu untuk menyaksikan perlumbaan kerbau tersebut.

    Penonton berusia 38 tahun itu berkata bahawa dia merasakan penduduk di tempat itu ada pertalian dengan kerbau mereka.

    Dalam perlumbaan itu, kerbau mungkin hilang kawalan ketika ia memecut ke barisan penamat, yang menghuru-harakan keadaan sehingga penonton yang berdiri dekat di kawasan perlumbaan itu lari bertempiaran.

    Salah seorang pelumba, Noppadon Yindeesuk, 45, mengakui acara tradisi itu boleh bertukar berbahaya.

    “Ia mungkin menjadi berbahaya jika kerbau-kerbau berlari terlalu dekat dengan satu sama lain kerana ia boleh menyebabkan kemalangan, jadi para pelumba mesti berhati-hati,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, pelumba itu mengatakan bahawa dia akan menyertai perlumbaan dengan dua ekor kerbaunya, yang bernilai lebih kurang AS$4,200 seekor – memanggil kerbaunya, Parewa dan Pete.

    “Ia berusia lebih dari dua tahun, dan telah memenangi perlumbaan pada tahun lalu,” katanya. Dia juga menambah bahawa dia berlatih bersama kerbaunya setiap tiga atau empat hari dalam seminggu.

    Tetapi itulah perkara penting yang menjadi tontonan pada Ahad, kata Yindeesuk.

    “Saya sertai pertandingan lumba kerbau itu kerana saya berusaha untuk mengekalkan tradisi Chonburi kami ini dan ia menumpukan kepada kualiti beras yang bagus serta kerbau yang baik.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...