Festival Lumba Kerbau Thailand berlangsung di sebalik larangan

CHON BURI, THAILAND, 1 OKT – Festival Tahunan Lumba Kerbau Thailand berlangsung hari ini di sebalik larangan perjalanan koronavirus, dengan jumlah penonton daripada pelancongan yang lazimnya ramai, berkurangan.

Kerbau-kerbau tegap pernah digunakan sebagai haiwan membajak di ladang-ladang seluruh negara itu sehinggalah ia digantikan dengan traktor dan mesin moden beberapa dekad lalu. Namun peladang di wilayah Chonburi berhampiran Bangkok mengekalkan tradisi lumba kerbau sebagai meraikan musim menanam padi tahunan dan berakhirnya musim hujan dikenali sebagai Buddha Lent.

Lumba kerbau sejauh 100 meter dengan pemilik atau joki kerbau mengimbangi kedudukan di belakang kerbau, bersaing untuk sampai ke garisan penamat bagi memenangi hadiah lumayan.

Selain lumba kerbau, festival juga menyaksikan pedati kerbau berhias dengan penari dalam pakaian tradisi berwarna keemasan berarak sebelum pertandingan. Ia diakhiri dengan peraduan kerbau paling cantik. – AFP

Joki menunggang kerbau semasa festival tahunan di Chonburi, 1 Oktober. – AFP