Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Festival Makanan Malaysia dilancar di Anjung Saujana

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Rokiah Mahmud

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Restoran Anjung Saujana dan Royal Brunei Culinary (RBC) dengan kerjasama Pelancongan Malaysia Brunei telah melancarkan Festival Makanan Malaysia Tahunan 2022 dengan memperkenalkan lebih 70 jenis makanan Malaysia.

    Festival berkenaan merupakan sebahagian daripada Festival Disember Brunei 2022 dan berlangsung di Restoran Anjung Saujana, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bermula kelmarin.

    Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir bagi sama-sama merasmikan festival ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Nur Ezira Mahadi, ahli-ahli Lembaga Pengarah RBC dan para jemputan khas.

    Sempena festival berkenaan, Anjung Saujana telah menjemput seorang cef dari Malaysia iaitu Cef Mohamad bin Arshad, lebih dikenali sebagai Cef Matt, untuk menunjukkan tatacara membuat Roti Canai Terbang serta persembahan teh tarik.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran berkenaaan.
    Cef Matt menunjukkan tatacara membuat Roti Canai Terbang.

    Persembahan teh tarik merupakan persembahan khas untuk pelanggan dan orang ramai pada hujung minggu pertama festival.

    Pelbagai aktiviti juga telah disusun seperti demo memasak, peraduan memasak dan banyak lagi.

    Antara makanan yang ditawarkan sepanjang festival berkenaan adalah Ayam Enche Kabin Nyonya Melaka, Ikan Asam Pedas Johor, Kambing Merah Johor, Ikan Masak Cill Padi Tempoyak Perak, Nasi Dagang Terengganu, Kuching Kolo Mee, Daging Gulai Kawah, Udang Masak Lemak Nanas Nyonya Melaka dan pelbagai jenis kuih muih khas dari Malaysia.

    Semua hidangan yang menyelerakan berkenaan akan dihidangkan berdasarkan giliran menu harian.

    Sebagai sebahagian daripada promosi festival, Restoran Anjung Saujana menawarkan bufet makan malam setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan ini.

    Sebagai tambahan, menu khas juga ditawarkan bermula 11 pagi hingga 8:30 malam kecuali Jumaat dan Sabtu.

    Pemegang kad RBC Dining Privilege berpeluang menikmati diskaun sebanyak 10 peratus, manakala pemegang kad kredit BIBD akan mendapatkan diskaun sehingga 25 peratus.

    Sempena festival itu juga, pelanggan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik seperti tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk dua orang, baucar untuk dua orang ke Legoland Malaysia, dan baucar sea walking untuk dua orang ke Pulau Manukan Sabah dan banyak lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...