Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Festival promosi ekopelancongan Kg Kiudang

    Oleh Sim Y. H.

    TUTONG, 27 NOV – Usaha terus dilaksanakan untuk memajukan produk-produk pelancongan domestik dengan mengetengahkan keunikan kraf tangan, seni warisan budaya dan makanan tradisi masyarakat setempat.

    Ke arah itu, Festival Kiudang 2022 anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang merupakan satu usaha ke arah mempromosikan produk-produk ekopelancongan yang terdapat di kampung berkenaan.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Ketua Kampung Kiudang dan Pad Nunok, Haji Saufulbahri bin Haji Umarali selaku Pengerusi Festival Kiudang pada acara kemuncak Festival Kiudang yang berlangsung di Gerai Muafakat, Kampung Kiudang, hari ini.

    Hadir pada hari kemuncak festival itu ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Haji Saufulbahri berkata lagi bahawa festival yang dianjurkan buat kali kedua itu membawa tema ‘Siok Inda Beranti’, di mana ia mengetengahkan tiga konsep utama iaitu ekopelancongan, riadah keluarga dan tamu bazar.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima.
    Antara produk yang diketengahkan oleh para peserta dan masyarakat bagi pengunjung Festival Kiudang 2022.
    Persembahan kebudayaan turut memeriahkan acara berkenaan.

    Festival itu, tambahnya, merupakan usaha berterusan untuk mempromosikan produk ekopelancongan kampung berkenaan termasuk Taman Rekreasi Wasai Bedanu, kraf tangan, makanan tradisi, seni warisan budaya melalui penglibatan aktif masyarakat kampung sebagai inisiatif bagi mengerakkan aktiviti ekopelancongan yang menarik
    dan berdaya tahan.

    Beliau berkata lagi, sebagai penerima Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti Standard ASEAN (CBT) bagi 2017-2019, MPK Kiudang sentiasa komited melihat ke hadapan terutamanya meneroka peluang-peluang yang ada dengan melibatkan penyertaan masyarakat kampung khususnya dalam industri pelancongan.

    Festival itu juga merupakan platform bagi meningkatkan hubungan baik kepimpinan akar umbi dengan pihak-pihak yang berkepentingan ke arah melaksanakan penganjuran acara yang lebih baik dan sempurna melalui pendekatan senegara.

    Pada masa yang sama ia dapat mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya penduduk kampung.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf turut mengadakan lawatan dan diberikan penerangan mengenai produk yang dipamerkan serta diusahakan oleh penduduk kampung yang diketengahkan semasa festival tersebut.

    Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 November lalu menyaksikan penyertaan lebih 20 pengendali acara yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, sekolah kerajaan dan swasta, masyarakat kampung, sukarelawan dan individu yang mengetengahkan pelbagai acara menarik untuk pengunjung ke festival itu.

    Antara tarikan yang diketengahkan semasa festival itu ialah pakej lawatan ke Taman Rekreasi Wasai Bedanu, Kampung Parade, pameran produk, cabaran keluarga, cabaran memasak, cabaran makan lada, bengkel kebudayaan serta demonstrasi kraf tangan dan kuih tradisi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...