Festival Seni dan Budaya BIMP-EAGA Budayaw ke-3 buka tirai

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KKBS

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Festival Seni dan Budaya BIMP-EAGA Budayaw ke-3 secara rasmi membuka tirainya kelmarin dengan majlis perasmian yang berlangsung secara maya melalui YouTube Kebudayaan Kesenian.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pembukaan rasmi itu adalah sebagai pembuka tirai bagi acara-acara yang disempenakan dengan festival tersebut yang akan berlangsung selama sebulan dan turut disempenakan dengan Festival Disember Brunei (BDF).

Festival berkenaan merupakan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi, Republik Indonesia, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Sarawak, Labuan Corporation, Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Sabah Art Gallery, Sarawak Arts Council, National Commission for Culture and the Arts (NCCA),Republik Filipina, Kalimudan Culture and Arts Association, Republik Filipina, Fashion Designers Alliance (FDA) dan artis-artis bebas tempatan.

Festival membawa tema ‘Jauh di Mata, Dekat di Hati’ yang menggambarkan kesulitan untuk melaksanakan kegiatan sosiobudaya yang meraikan seni budaya BIMP-EAGA, tetapi didekatkan dengan penggunaan teknologi dan kesamaan rasa yang mendalam terhadap mempertahankan seni budaya serantau.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan perasmian festival berkenaan secara maya.
Persembahan dari negara-negara anggota BIMP-EAGA memeriahkan lagi majlis perasmian festival tersebut.

Beberapa kategori acara akan diadakan sepanjang festival tersebut iaitu persembahan tarian yang dibawakan oleh artis-artis dari negara-negara ahli BIMP-EAGA, Webinar Fesyen dan Film Showcase; dan Pameran Seni Tampak.

Budayaw, kata gabungan perkataan Bahasa Melayu ‘budaya’ dan Filipina ‘dayaw’ yang bermaksud baik atau indah, bertujuan untuk mengeratkan hubungan di rantau ini melalui perayaan kepelbagaian budaya dan warisan.

Budayaw adalah pertukaran budaya terbesar BIMP-EAGA yang diadakan setiap dua tahun, yang dihoskan oleh setiap negara anggota.

Festival pertama telah diadakan pada 2017 di General Santos City, Republik Filipina dan pada 2019, festival tersebut diadakan di Kuching, Sarawak, Malaysia.

Manakala, pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam menjadi negara tuan rumah bagi festival tersebut.

Majlis perasmian telah diserikan dengan persembahan-persembahan yang dibawakan oleh artis dari negara-negara ahli BIMP-EAGA yang diselang-selikan dengan video temu bual artis, pakar budaya dan profesional dari rantau BIMP-EAGA.

Persembahan didahului oleh artis dari Negara Brunei Darussalam dengan persembahan ‘Dindang Berkasih; dan seterusnya diikuti dengan persembahan dari Indonesia, Malaysia dan Republik Filipina. Acara diteruskan dengan persembahan gabungan nyanyian dan tarian bersama-sama dalam kalangan artis dari negara-negara BIMP-EAGA.