Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival serlahkan peranan Pusat Belia

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Festival Pusat Belia diharap terus menjadi inisiatif yang bermanfaat ke arah belia yang versatil, berdikari dan produktif.

    Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad berkata, belia-belia perlu mengamalkan pengisian masa senggang dengan produktif yang mana adalah fundamental untuk pembangunan belia.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Pusat Belia yang berlangsung di Pusat Belia, di ibu negara, hari ini. Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil Bengkel Keusahawanan Belia dan sijil tamat Akademi Komputer Belia kepada 60 orang peserta.

    Penganjuran festival oleh KKBS itu dihasratkan untuk menyerlahkan peranan Pusat Belia dalam membangun belia bagi kemajuan pesat mereka.

    Festival itu dirangsang oleh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-6 di Kem Latihan PKBN Batu Apoi, Daerah Temburong pada 13 Mac lalu.

    Haji Noor Jusmin memotong reben menyempurnakan perasmian Festival Pusat Belia.
    Haji Noor Jusmin melawat petak pameran belia semasa Festival Pusat Belia berkenaan.

    Baginda antara lain bertitah menyatakan rasa amat optimis dengan kaum belia pada hari ini dari sudut mereka itu suka melakukan kerja-kerja amal dalam pelbagai bidang. Begitu juga kaum belia dikenali sebagai suka berpersatuan. Kecenderungan seperti itu sangat bagus untuk diteruskan kerana berkumpul dan berinteraksi sesama belia boleh mencetuskan idea-idea besar dan baru yang sangat berfaedah.

    Di samping itu, dalam penjenamaan semula Pusat Belia, pelbagai pakej baharu diperkenalkan yang dijangka memberi laluan laju kepada pertumbuhan keberhasilan belia dalam bidang-bidang yang mereka minati.

    Kemudahan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pusat Belia di peringkat ini antara lain adalah Akademi I’jaz Al-Quran, Akademi Masakan, Akademi Komputer dan Akademi Kecantikan yang merupakan tempat-tempat belajar untuk dimanfaatkan oleh belia-belia yang berkecenderungan dalam bidang-bidang itu.

    Pada masa yang sama, aktiviti kolam renang di Pusat Belia juga akan dipertingkatkan dan bagi permulaan, Pusat Belia membukakan kolam renang untuk kegunaan orang ramai di mana pusat itu menawarkan perkhidmatan ‘life saving’, regata asas, sukan polo, kanu dan banyak lagi yang akan direncanakan yang menjurus kepada pembangunan sukan air.

    Manakala itu, untuk menambah kemudahan yang komprehensif di Pusat Belia, Kafe Belia beroperasi untuk keperluan pengunjung pusat termasuk orang ramai yang menginap di Asrama Pusat Belia. Kafe Belia diurus oleh Pusat Pembangunan Belia yang akan mengetengahkan potensi belia dalam bidang kulinari bagi berdikari.

    Sementara itu, Asrama Pusat Belia akan ditransformasikan melalui projek-projek penambahbaikkan yang akan dilaksanakan sedikit masa lagi.

    Bagi usahawan belia muda, Pusat Belia mempunyai berita yang baik bagi mereka di mana pusat itu menyediakan ruang untuk mereka menerusi Program ‘Weekend Space’ bagi mendapatkan mata pencarian di hujung minggu.

    Pada masa yang sama, tidak ketinggalan diberi perhatian adalah belia-belia yang berminat dengan bidang kebudayaan dan kesenian untuk memanfaatkan kemudahan ‘studio’ yang disediakan.

    Sehubungan itu, belia-belia diseru menggunakan Pusat Belia dengan optimum sebagai inspirasi mengisi masa lapang dengan kegiatan yang mendatangkan impak kepada pembangunan diri masing-masing dan sesuai dengan objektif Pusat Belia iaitu untuk menyatupadukan belia ke arah kebajikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda