Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival unik di padang pasir

    PADANG pasir sememangnya mempunyai panorama yang menarik, sekali gus mampu menawarkan elemen yang unik kepada orang ramai khususnya penduduk rantau Asia Barat. Bagi menghidupkan semula suasana Arab klasik, satu festival yang dinamakan Festival Moreeb Dune Liwa berlangsung di padang pasir Liwa, yang terletak 250 kilometer dari Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

    Menariknya, pada Festival Moreeb Dune Liwa yang bermaksud ‘bukit yang mencabar’ itu, pelbagai jenis perlumbaan yang lazimnya tidak dianjurkan di bandar-bandar dapat disaksikan. Antara perlumbaan yang dilangsungkan ialah lumba unta, kuda baka Arab dan burung helang. Ia dikatakan bukit yang mencabar kerana Liwa mempunyai bukit pasir yang bukan sahaja terindah bahkan paling tinggi di negara itu pada ketinggian lebih 300 meter.

    Ratusan unta, kuda dan burung helang menyertai perlumbaan itu, sekali gus membentuk suasana seperti zaman Arab purba atau medan peperangan silam di kawasan itu. Bersesuaian dengan dunia moden, festival itu turut melangsungkan perlumbaan kenderaan bermotor seperti kereta dan lumba motosikal. Aktiviti drift juga mengujakan adrenalin dengan pasir yang berterbangan ke udara.

    Pelbagai jenis aktiviti

    Festival selama seminggu itu diserikan dengan pelbagai acara lain antaranya pertunjukan mercun, pameran makanan dan aktiviti permainan kanak-kanak. Padang pasir Liwa di Abu Dhabi sebenarnya kawasan padang pasir yang sangat panjang dan luas sehingga ke Arab Saudi.

    Mengikut sejarah, ia merupakan padang pasir yang sangat signifikan dengan kehidupan masyarakat Arab zaman lampau kerana memiliki oasis iaitu sumber air. Bahkan, Liwa merupakan tempat asal pemerintah-pemerintah diraja yang memerintah kota-kota di UAE. Keluarga pemerintah UAE pada masa ini juga berasal dari kawasan itu dan berhijrah ke ibu kota Abu Dhabi pada tahun 1973.

    Liwa juga merupakan kawasan pelancongan yang cukup terkenal di UAE. Ia menawarkan bukan sahaja suasana tetapi juga kehidupan penduduk padang pasir kepada para pelancong. Pemandangan indah padang pasir yang luas berwarna kejinggaan. Ia tampak lebih mempesonakan saat matahari terbenam yang tidak mungkin dilepaskan oleh lensa kamera para pengunjung. – Agensi

    Festival Moreeb Dune Liwa yang bermaksud ‘bukit yang mencabar’ itu, pelbagai jenis perlumbaan.
    Festival Moreeb Dune Liwa yang bermaksud ‘bukit yang mencabar’ itu, pelbagai jenis perlumbaan.
    Antara perlumbaan yang di-langsungkan ialah lumba unta.
    Antara perlumbaan yang di-langsungkan ialah lumba unta.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda