Fesyen kumpulan etnik diserlahkan di pentas peragaan Malaysia

QUANG NAM – Enam pakaian tradisional Vietnam akan dipamerkan pada minggu fesyen dalam talian di Kuching, Sarawak, Malaysia pada 5 Disember akan datang.

Pakaian itu, daripada kumpulan etnik Co Tu, Gie Trieng, Ba Na, E De dan Ca Dong, akan menjadi sebahagian pameran yang menonjolkan tenunan tradisional Vietnam di ‘Minggu Fesyen Tenun 2021’.

Acara fesyen dalam talian itu akan melibatkan 44 komuniti tenun dari negara berbeza di Asia Tenggara, mempromosikan koleksi unik produk tenunan tradisional.

Pertubuhan bukan kerajaan Jepun Foundation for International Development/Relief (FIDR) memulakan Rangkaian Tenunan Tradisional di Central Highlands (TWeN), memilih koleksi terbaik untuk menyertai acara fesyen kawasan ASEAN.

Koleksi daripada TWeN, serta kumpulan lain dari negara ASEAN, akan berada di laman sesawang dan laman media sosial Tenun dari 15-17 November. Pakaian akan diperagakan di pentas peragaan fesyen.

Kelihatan dua wanita Co Tu menenun sutera di desa Bho Hhong di tengah Wilayah Quang Nam. ANN/Vietnam News.

FIDR berkata ia telah menubuhkan TWeN untuk mengekalkan nilai budaya tenunan tradisional di wilayah Central Highlands pada 2019.

FIDR ialah NGO Jepun yang telah bekerja di tengah Vietnam selama lebih daripada 20 tahun. Tujuan mereka untuk menangani kemiskinan dan pembangunan sosial dalam kalangan kumpulan etnik minoriti.

Kira-kira 80 kumpulan etnik tempatan di Vietnam telah terlibat dalam membangunkan 230 produk brokat, menawarkan 150 produk ke pasaran dan memperoleh VND$2 bilion (AS$87,000) sejak empat tahun lalu, menurut laporan FIDR.

Dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan pihak berkuasa tempatan, FIDR telah melaksanakan Projek Pembangunan Luar Bandar oleh Inisiatif Tempatan Komuniti Etnik Minoriti selama empat tahun di Daerah Nam Giang, di tengah Wilayah Quang Nam.

Projek ini telah berjaya membina ‘Model Nam Giang’, struktur asas untuk rangkaian kraf dalam kalangan kumpulan etnik di Vietnam.

Ia telah membina jenama dan sistem pemasaran produk tempatan daripada kumpulan etnik Xo Dang, Ba Na, Ta Oi, Co Tu dan Ma, di wilayah Quang Nam, Thua Thien-Hue, Da Nang, Kon Tum dan Dak Nong.

Kumpulan tenunan Co Tu di desa Zo Ra, Daerah Nam Giang, merupakan koperasi tenunan pertama yang mengeksport produk ke Australia. Satu siri destinasi pelancongan berasaskan komuniti juga telah dibina di Komune Ta Bhing dan Ta Lu, dan kampung Bho Hoong dan Dhroon di Wilayah Quang Nam, dan Kampung Tà Lang di Đa Nang, untuk meningkatkan perdagangan brokat. — ANN/Vietnam News