Gara-gara pemakaian yang dianggap pelik dan tidak sesuai untuk imej seorang wanita bertudung, penyanyi Masya Masyitah menerima kecaman warganet di media sosial.
Pemakaian Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff, 22, menjadi perbualan selepas dia memuat naik foto mempromosikan lagu baharunya berjudul Simpanan di laman Instagram.
Rata-rata pengikut mempersoalkan mengenai pemakaiannya berbanding lagu terbaharu itu.
“Makin lama makin pelik fesyen dia ini. Makin popular baju makin seram tengok. Dulu suka tengok sopan saja.
“Walaupun ada baju di dalam tetapi macam tidak sesuai baju merah jambu itu untuk wanita bertudung. Maaf Masya.
“Pelik-pelik pakaian Muslimah sekarang,” antara komen warganet di Instagram.
Dalam pada itu, ada juga pengikut menyangka Masya sudah mendirikan rumah tangga dengan individu dalam gambar yang dikongsikan itu.
Bagaimanapun tinjauan portal mStar mendapati lelaki berkenaan merupakan pelakon iaitu Hon Kahoe yang sebelum ini pernah membintangi filem Talentime dan telefilem Senafas Rindu.
Dalam perkembangan lain, Masya baru sahaja muncul dengan single baharu berjudul Simpanan.
Lagu ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rah-mat dan John Jeeves itu mengetengahkan rentak pop rancak serta memiliki elemen muzik K-pop.
Pembikinan lagu tersebut telah diinspirasikan daripada kisah hidupnya yang sebelum ini pernah mempunyai pengalaman diduakan oleh sang kekasih. – Agensi