Fetty ‘pergi’ akibat COVID-19

Industri seni Malaysia diselubungi awan duka berikutan pemergian pelakon veteran, Fetty Dzul, 63, yang menjadi korban COVID-19 kategori lima pada jam 7:30 pagi, semalam.

Fetty atau nama sebenar, Fatimah Abd Rahim (gambar), 63, menghembuskan nafas terakhir selepas dua minggu bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

Kehilangan pelakon yang terkenal dengan watak antagonis itu bukan sahaja dirasakan anggota keluarga, malah membekas dalam hati rakan seperjuangan.

Pelakon senior, Kismah Johar, 69, menyifatkan pemergian Fetty sebagai kehilangan yang amat besar kepada industri.

“Saya kenal arwah sudah lama, iaitu ketika kami mula-mula menceburkan diri dalam bidang lakonan.

“Pada masa itu, kami masih bergelar penjawat awam. Saya bertugas di Kementerian Kerja Raya manakala arwah dengan Kementerian Pelajaran.

“Sepanjang bersahabat, arwah mudah bergaul dan disenangi ramai. Dia sangat baik dan tak pernah menyakitkan hati orang lain.

“Justeru, apabila mendapat perkhabaran pemergian arwah, saya amat sedih. Industri seni kreatif kehilangan seorang lagi pelakon yang boleh dianggap sebutir permata,” katanya.

Sepanjang pembabitan dalam arena seni, Fetty begitu dikenali peminat kerana sering tampil memegang karakter antagonis dalam drama atau filem.

Fetty antara pelakon terawal yang terbabit dengan siri drama kepolisan terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Remang-Remang Kota Raya, Harimau Rimba dan Debu-Debu Kota pada 1980an.

Fetty kemudian meninggalkan Malaysia selama empat tahun pada awal 1990an kerana mengikut arwah suami bertugas di Amerika Syarikat (AS).

Pernah beberapa kali bekerjasama dengan arwah di lokasi, Kismah memuji disiplin Fetty.

“Dia amat berdisiplin dan datang ke lokasi tepat pada masanya. Mungkin sudah biasa bekerja di pejabat menyebabkan dia begitu menghargai masa,” katanya.

Tambah Kismah, dia tidak menduga ingatan tiba-tiba melayang kepada arwah yang terlantar di hospital membawa petanda bakal kehilangan sahabatnya itu.

“Baru malam tadi (kelmarin) saya teringatkan arwah dan tertanya-tanya bagaimanakah keadaannya. Hendak ziarah, situasi tidak menizinkan.

“Tiba-tiba, pagi tadi saya dikejutkan dengan berita arwah sudah tiada. Apa yang berlaku semuanya ketentuan Allah. Tapi kita kena juga berhati-hati kerana COVID-19 masih wujud dan kita belum menang.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga arwah. Banyakkan bersabar dengan ketentuan Ilahi ini,” katanya.

Berita pemergian Allahyarham Fetty disahkan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi.

Zed berkata, dia dimaklumkan mengenai berita pemergian arwah menerusi kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa SENIMAN.

Mewakili industri, Zed atau nama sebenar, Rozaidi Jamil menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelakon veteran itu. – Agensi