FGV, MTUC, ILO M’sia bersatu tingkat kesedaran buruh paksa, buruh kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 14 JUN – FGV Holdings Bhd (FGV), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Malaysia menganjurkan bersama bengkel bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam kalangan pekerja ladang FGV.

FGV berkata, bengkel yang diadakan di Bentong, Pahang itu adalah bertujuan bagi menyokong agenda global dan nasional untuk membasmi buruh paksa dan buruh kanak-kanak serta menyumbang kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (2021-2025) dan Ikrar Kebangsaan untuk Membasmi Bu-ruh Kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nazrul Izam Mansor berkata, FGV komited dalam memainkan peranan bagi menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak. FGV juga percaya isu itu amat penting dan memerlukan fokus serta komitmen jangka masa panjang.

Beliau juga berkata, sesi tersebut adalah sebahagian daripada pelbagai program dan inisiatif FGV bagi menambah baik amalan buruh dalam operasinya serta untuk menegakkan piawaian buruh.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh wakil MTUC dan disertai kira-kira 60 pekerja dan 30 kakitangan pengurusan daripada ladang FGV.

Syarikat perladangan itu juga berkata, FGV, MTUC dan ILO Malaysia telah mengulangi komitmen berterusan bagi memainkan peranan penting dalam usaha ini. – Bernama