ROM, 16 MAC – Pengeluar kereta Itali-Amerika Fiat Chrysler berkata hari ini ia sedang menggantung pengeluaran di kebanyakan kilang di Eropah sehingga 27 Mac disebabkan pandemik koronavirus.
“Penggantungan sementara itu, yang berkuat kuasa sehingga 27 Mac 2020 membolehkan Fiat Chrysler bertindak balas terhadap gangguan dalam permintaan pasaran dengan memastikan pengoptimuman bekalan,” kata syarikat dalam satu kenyataan. Fiat Chrysler bersetuju pada Disember mengenai satu gabungan dengan Peugeot di Perancis untuk menubuhkan pengeluar kereta keempat terbesar dunia.
Ia tidak menyatakan masa depan penggabungan dalam kenyataannya. Fiat Chrysler menyenarai enam kilang di Itali dan masing-masing satu di Serbia dan Poland yang dijangka akan ditutup.
Syarikat itu berkata ia ‘sedang bekerjasama dengan pusat bekalan dan rakan perniagaan supaya bersiap sedia untuk membolehkan operasi pengeluaran kami menghantar jumlah pengeluaran yang ditetapkan sebelumnya meskipun penggantungan apabila permintaan pasaran kembali.” – AFP