Fida, suami jalin cinta 17 tahun

Pelakon Rafidah Ibrahim, 35, sah bergelar isteri dengan bekas pengurusnya, Shahzemir Shahzulkarib, 37, di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, semalam.

Rafidah atau Fida berkongsi berita gembira menerusi Instagram (IG) miliknya memberitahu, majlis sederhana itu hanya dihadiri keluarga terdekat kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Alhamdulillah, di sebalik kekalutan membuat persediaan perkahwinan yang sangat ringkas, segala-galanya berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Saya bersyukur hasrat mahu bergelar isteri dan berumah tangga bersama lelaki pilihan akhirnya termakbul. Majlis pernikahan kami hanya dihadiri adik beradik dan keluarga terdekat sahaja. Hanya 50 tetamu diundang.

“Saya mohon maaf pada saudara mara dan sahabat kerana tidak dapat mengundang pada majlis pernikahan berikutan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Fida berkata, dia sudah kenal suami yang berstatus bujang sejak 17 tahun lalu. Malah, suaminya pernah menguruskan kerjaya seninya selama 10 tahun.

“Suami kini pengarah Blyon Group Berhad. Sebelum ini, hampir 10 tahun suami menguruskan kerjaya seni saya.

“Saya tentunya teruja menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama suami, tahun ini,” katanya.

Fida berkata dia menyarungkan kebaya milik arwah ibunya berona kuning keemasan pada hari pernikahan.

“Usia baju itu sudah hampir 20 tahun. Saya tak sangka ia akhirnya disarungkan sebagai simbolik ikatan perkahwinan saya dan suami,” katanya. – Agensi

Fida Ibrahim bersyukur hasrat mahu bergelar isteri dan berumah tangga bersama lelaki pilihan akhirnya termakbul. – Agensi